Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Syed Saddiq mengusik: SPRM kena siasat Karius
Diterbitkan:  May 27, 2018 11:23 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Boleh dikatakan semua penyokong Liverpool kecewa apabila skuad itu gagal menjulang piala Liga Juara-juara yang begitu berprestij di Eropah pada awal pagi tadi.

Dalam perlawanan itu pasukan The Kop longlai dikerjakan oleh Real Madrid yang menjaringkan tiga gol - termasuk satu daripadanya dianggap antara yang tercantik - berbanding anak buat Jurgen Klopp, hanya satu.

Namun kekecewaan itu lebih memedihkan apabila penyokong Liverpool bagaikan dikhianati oleh pemain mereka sendiri iaitu penjaga gol Loris Karius.

Justeru Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir dengan cadangan nakal.

Kata Syed Saddiq ada tindakan perlu diambil ke atas Karius, 24, dengan prestasinya di Stadium Olimpik Kiev, Ukraine pagi tadi.

"Saya sarankan SPRM siasat keeper Liverpool. Hahahahaha," ciapnya di Twitter.

SPRM yang disebut anggota parlimen Muar itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang secara kebetulan begitu ranggi sejak Putrajaya ditadbir oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tampan tapi tak kemas

Dalam perlawanan bermula kira-kira jam 2.45 pagi (waktu Malaysia) tadi, Liverpool dikecewakan oleh gol-gol jaringan Karim Benzema pada minit ke-51 dan Gareth Bale (minit ke-64 dan 83).

Dua daripada gol berkenaan dijaringkan oleh kecuaian Karius. Pada minit ke 51 penjaga gol dari Jerman itu sudah memegang bola dengan selamat namun sangat cemerkap apabila cuba menyerahkan bola itu untuk rakannya.

Bola yang cuba dilontar Karius sebaliknya terkena kaki Benzema dan pemain itu tidak perlu berbuat apa-apa kerana bola berkenaan melantun masuk ke gawang Liverpool.

Gol kedua Los Blancos pula dipuji ramai apabila Bale - pemain dari Wales itu - membuat tendangan berpusing yang sangat cantik dari jarak kira-kira 15 meter.

Kemudian hadirlah gol ketiga. Bale membuat rembatan terus ke arah pintu gol. Karius berjaya menampan bola berkenaan. Masalahnya tampanan itu tidak kemas menyebabkan bola tetap menerjah gawang.

Gol tunggal Liverpool disumbangkan oleh Sadio Mane pada minit ke-55.

Perlawanan itu juga dikenang ramai atas tindakan keterlaluan Sergio Ramos terhadap ayam tambahan Liverpool Mohamad Salah pada minit ke-30.

Tindakan Ramos menarik dan mengepit tangan Salah menyebabkan pemain lincah dari Mesir itu tersembam jatuh dan mengalami kecederaan bahu kiri. Laporan menyebut dia mungkin terlepas daripada beraksi pada Piala Dunia di Russia bulan depan.

Pada ciapan lebih awal Syed Saddiq menyatakan dia seperti keseorangan menjadi penyokong Real Madrid semasa menonton perlawanan tersebut di sebuah restoran di Muar.

Dia kemudian mengusik melalui ciapan ringkas tetapi mudah difahami semasa Karius melakukan kesilapan di depan Benzema.

"Hahahahahahaahahahhaahahahahahahahahahahahah," ciapnya.

 

 

Selepas pengadil meniup wiset penamat, Karius kelihatan begitu sebak terutama semasa dia berdepan dengan penyokong Liverpool yang sesetengahnya datang begitu jauh dan sukar ke Kiev.

Kali terakhir Liverpool berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Liga Juara-juara sebelum ini ialah pada 2007 namun kalah kepada AC Milan dari Itali dengan jaringan 1-2.

Kali terakhir Liverpool menjulang piala berkenaan pula ialah pada 2005.

Bagi Real Madrid pula mereka menjulang piala itu untuk tahun ketiga berturut-turut pagi tadi.

Lihat Komen
ADS