Bertanggungjawab memusnahkan impian Mohamed Salah untuk beraksi pada Piala Dunia di Russia pertengahan bulan depan, Sergio Ramos bertegas dia tidak bersalah.

Menurut pemain kebangsaan Sepanyol dan Real Madrid itu dia tidak sengaja mendatangkan kecederaan buat Salah.

Kini dikecam teruk Ramos, 32, sebaliknya menyampaikan ucapannya - yang tidak menunjukkan rasa bersalah pun - buat Salah melalui Twitter.

"Kadang-kadang bola sepak menampilkan sisi baik kamu, dan pada masa lain sisi gelap.

"Apa pun, kita sama-sama pro (profesional). Semoga cepat sembuh Mo Salah," katanya di Twitter.

Salah ialah pemain yang disandarkan harapan oleh Liverpool untuk menjulang Piala Juara-juara selepas kali terakhir mereka melakukannya 13 tahun lalu.

 

 

Bagaimanapun kekasaran dilakukan Ramos ke atas Salah memaksa pemain antarabangsa Mesir itu keluar pada hanya selepas 30 minit beraksi.

Pemeriksaan awal mendapati sendi bahunya tergelincir, namun ada pakar berpendapat berlaku keretakan pada tulang selangka kirinya.

Susah nak percaya

Perlawanan berakhir dengan Liverpool dipaksa tunduk 1-3 kepada Real Madrid. Namun kepedihan penyokong The Kop tidak terhad kepada jaringan berkenaan.

Mereka juga kecewa dengan prestasi cemerkap penjaga gol dari Jerman Loris Karius yang menyebabkan dua daripada tiga gol berkenaan menggegar gawang.

Selain mengasari Salah, Ramos juga didapati bertindak keterlaluan dengan menyiku Karius.

Tindakan yang turut dikecam itu dilakukan kapten Real Madrid sejurus sebelum Karim Benzema berjaya memanfaatkan peluang daripada kecuaian Karius untuk menjaringkan gol pertama.

Salah, 25, terpaksa ditenangkan oleh rakan-rakannya ketika dia terpaska meninggalkan padang dan ke bilik persalinan bagi tujuan rawatan.

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp secara jujur mengakui dia sangat sangsi bahawa Salah sempat pulih untuk beraksi di Russia pada bulan depan.

"Susah nak percaya kecederaan dialaminya. Ia kelihatan tidak baik," katanya.

Bagaimanapun doktor pasukan kebangsaan Mesir, Mohamed Abou El-Ela, masih optimis dan melihat ada kemungkinan Salah berpeluang membantu skuad negara terbabit di Rusia.