Lagi khabar gembira daripada kerajaan - Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengesahkan kejohanan Piala Dunia 2018 akan disiarkan di saluran RTM1.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata kabinet setuju dengan cadangan itu selepad dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
"Kami akan siarkan Piala Dunia tahun ini di RTM1 secara percuma," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet.
Beliau berkata, kerajaan akan cuba mencari jalan untuk menyerap kos penyiaran dan perinciannya akan dijelaskan Kementerian Kewangan dalam sidang media esok.
"Ia melibatkan kos tetapi kami cuba mencari jalan untuk menyerapnya...ini perkara 'one-off', sekali setiap empat tahun," katanya.
Katanya, pihaknya mendapat banyak permintaan daripada orang ramai berhubung perkara itu dan beliau membawanya ke kabinet.
"Kabinet membuat keputusan (untuk meluluskannya," katanya lagi.
Piala Dunia kali ini diadakan di Russia, bermula 14 Jun hingga 15 Julai ini.
