Ada sinar terang buat Salah di Rusia
Hanya kira-kira dua minggu sebelum Mesir turun gelanggang melayan mencabar Uruguay di Rusia, ada sedikit sinar buat Mohamad Salah.
Masih dibelenggu kecederaan bahu kiri, keadaan kesihatannya bagaimanapun dipercayai menampakkan sinar.
Memuat naik gambarnya menjalani rawatan pemulihan ayam tambatan Liverpool dan Mesir itu mencatat ringkas bagi mengiringi imej berkenaan.
"Lega..." katanya ringkas di Twitter.
Bersama kenyataan itu ialah gambar Salah, 25, dipercayai sedang melakukan latihan regangan otot.
Mesir diundi untuk turun padang bagi perlawanan kedua pusingan akhir Piala Dunia 2018 selepas perlawanan pembukaan mempertemukan tuan rumah dengan Arab Saudi.
Pertemuan di antara Mesir dan Uruguay berlangsung pada 15 Jun ini.
Pembabitan Salah dalam Piala Dunia kali ini diragui selepas dijatuhkan pemain Real Madrid Sergio Ramos dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara di Kiev, Ukraine baru-baru ini.
Daripada andaian kecederaan ringan pemeriksaan lanjut menunjukkan bahu kiri Salah berada dalam keadaan serius. Malah ada pemerhati menjangkakan tulang selangkanya patah.
Good feelings... pic.twitter.com/Jhyd2kYVKI
— Mohamed Salah (@MoSalah) June 3, 2018
Keadaan itu meranapkan harapan untuk melihat Salah mempamerkan kelincahannya di atas padang semasa kejohanan Piala Dunia kali ini.
Maklumat terkini pula menyatakan jika proses pemulihan berjalan lancar ada kemungkinan Salah sempat beraksi dalam dua daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Mesir diundi bersama Rusia, Arab Saudi dan Uruguay dalam kumpulan A.
Hantaran di media sosial itu menarik banyak reaksi daripada peminat yang kebanyakannya mendoakan Salah segera sembuh.
Antara individu yang mengucapkan selamat kepada Salah ialah bekas lagi pemain antarabangsa Mesir, Mido, atau nama sebenarnya Ahmed Hossam Hussein Abdelhamid.
Mido kini menjadi pengurus kelab bola sepak di negaranya selepas bersara sebagai pemain. Dia pernah beraksi bersama beberapa kelab di EPL.
Selepas Uruguay Mesir akan berdepan dengan tuan rumah pada 19 Jun diikuti Arab Saudi pada 25 Jun.

