Andai Lionel Messi turun padang untuk negaranya semasa perlawanan persahabatan dengan Israel, umat Islam khususnya penduduk Palestin disaran 'mengajar' pemain antarabangsa Argentina berkenaan.

Kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub, semua penduduk Arab serta Muslim di seluruh dunia wajar membakar gambar serta baju T yang ada kaitan dengan Messi.

Gesaan itu dibuat Jibril selepas dia menyertai penduduk Palestin mengadakan protes di depan pejabat wakil kerajaan Argentina di Ramallah semalam.

Mereka berkumpul di depan bangunan terbabit untuk mendesak supaya Persekutuan Bola Sepak Argentina membatalkan rancangan mereka mengadakan perlawanan dengan pasukan dari negara Zionis berkenaan.

Perlawanan itu dijadual berlangsung di Malha, Baitulmuqaddis pada Sabtu ini.

Stadium berkenaan dibina di atas tapak petempatan penduduk Palestin yang dimusnahkan Israel semasa rejim terbabit menceroboh dan menjarah wilayan berkenaan 70 tahun lalu.

Pertemuan itu diadakan sebagai persiapan skuad dari Amerika Latin itu menghadapi Piala Dunia 2018 di Rusia pertengahan bulan ini.

Argentina diundi dalam kumpulan D bersama Iceland, Croatia dan Nigeria.

Skuad bimbingan Jorge Sampaoli itu akan memulakan kembara mereka pada pusingan kali ini dengan bertemu Iceland pada 16 Jun.

Gesaan Jibril itu juga dibuat beberapa hari selepas tentera Zionis menembak mati sukarelawan perubatan Palestin, Razan Ashraf al-Najjar, di Khan Younis di Gaza.

Razan, 21, sedang merawat seorang lelaki yang cedera terkena balang gas pemedih mata apabila tentera Israel menembaknya.