Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Salah dituduh jadi bahan publisiti di Chechnya
Diterbitkan:  Jun 12, 2018 4:30 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

PIALA DUNIA 2018 |  Apabila Mohamed Salah turun dari biliknya ke lobi hotel, sudah ada seseorang menunggunya untuk dibawa berjalan-jalan di sekitar Grozny.

Lelaki berjambang itu ialah lelaki pilihan Kremlin untuk memimpin Chechnya - sebuah wilayah bergolak dan pernah menyaksikan kezaliman ke atas umat Islam di situ.

Menurut laporan media selepas bersalaman Ramzan Kadyrov mengajak Salah melawat stadium di ibu negeri Chechnya yang akan menjadi tempat pasukan kebangsaan Mesir menjalani latihan sepanjang Piala Dunia 2018 berlangsung 14 Jun ini.

Seperti dijangka kelibat Salah itu kemudian menjadi perhatian media. Masalahnya pemerhati berpendapat, manfaat sebenar bukan terletak pada penyerang lincah Liverpool itu sebaliknya 'dicuri' Ramzan.

Timbalan Pengarah Human Right Watch (Eropah dan Asia Tengah) Rachel Denber berkata Ramzan mengambil kesempatan itu untuk melonjakkan imejnya di mata umum.

"Ia 100 peratus boleh diagak," katanya seperti dilaporkan Telegraph.

Mesir diundi bersama pasukan tuan rumah - Rusia - dalam kumpulan A. Turut bersaing dalam kumpulan itu ialah Uruguay dan Arab Saudi.

Rusia akan memulakan pesta sebulan itu dengan bertemu Arab Saudi pada jam 11 malam 14 Jun (waktu Malaysia) ini. Ia menjadi menarik kerana berlangsung menjelang sambutan Aidilfitri di seluruh dunia.

Chechnya ialah wilayah majoriti berpenduduk Islam di Rusia yang ditekan oleh Kremlin sejak sekian lama. Ia pernah menyaksikan pelbagai pertentangan berdarah serta menjadi tumpuan pejuang Islam yang melawan tentera Rusia.

Ramzan, 41, pernah mengangkat senjata melawan tentera komunis Rusia sebelum bersikap lebih lunak kepada Moscow.

Presiden Rusia Dmitry Medvedev kemudian mencalonkan nama Ramzan sebagai pemimpin republik Chechnya pada 28 Feb 2011.

Dia kemudian dilantik sebulat suara oleh parlimen wilayah itu untuk mengetuai kerajaan di negeri berkenaan.

Ramzan memang dekat dengan sukan bola sepak. Pada 8 Mac dia mengetuai skuad Chechen - yang turut diwakili bekas pemain kebangsaan Jerman Lothar Matthaeus - menentang pasukan Brazil dalam perlawanan persahabatan.

Brazil diwakili - antara lain - oleh Romario, Dunga, Bebeto dan Cafu. Ramzan menjaringkan dua gol untuk pasukannya namun skuad terbabit terpaksa tunduk 4-6 kepada Brazil.

Di peringkat antarabangsa nama Ramzan tidak begitu harum kerana dituduh melakukan penindasan, penderaan serta diskriminasi ke atas kumpulan tertentu, seperti masyarakat gay.

Media melaporkan Salah - yang masih dibelenggu kecederaan - sedang berehat di hotel itu apabila dimaklumkan ada tetamu singgah secara mengejut dan menunggunya di lobi.

Lawatan Salah dan Ramzan itu disaksikan ribuan peminat yang berkumpul di stadium berkenaan. Malah mereka berdiri dan memberikan tepukan gemuruh terhadap kedua-dua tokoh terbabit.

Lihat Komen
ADS