Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sepanyol pecat ketua jurulatih Piala Dunia
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 6:27 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

PIALA DUNIA 2018 |  Sepanyol memecat jurulatih skuad kebangsaan negara itu ketika sepak mula Piala Dunia akan berlangsung kurang dari 48 jam lagi.

Media melaporkan pemecatan Julen Lopetegui itu dibuat apabila Persatuan Bola Sepak Sepanyol berasa mereka dikhanati bekas pemain kebangsaan negara terbabit.

Untuk rekod Lopetegui, 51, dilantik menjadi ketua jurulatih Real Madrid bagi menggantikan Zinedine Zidane yang meletak jawatan.

Lopetegui menandatangani kontrak tiga tahun untuk mengemudi kelab gergasi dunia di Santiago Bernabeu itu.

Menurut jurucakap persekutuan bola sepak Sepanyol dalam keadaan sedemikian tidak sesuai untuk bekas penjaga gol skuad kebangsaan Sepanyol berkenaan dikekalkan dengan statusnya sekarang.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol Luis Rubiales dijadal berada di Moscow untuk menghadiri kongres Fifa esok hari ini namun dia dilaporkan kembali ke negaranya semalam untuk menguruskan isu Lopetegui.

"Kami terpaksa mengetepikan jurulatih skuad kebangsaan. Selamat berjaya kepada Lopetegui," katanya.

Rubiales menambah rundingan di antara Real Madrid dan Lopetegui dijalankan tanpa sebarang maklumat diberikan kepada pihaknya.

"Kami hanya dimaklumkan mengenai hal itu (pelantikan Lopetegui menjadi ketua jurulatih Real Madrid) hanya lima minit sebelum sidang media yang dibuat untuk mengumumkannya," kata Rubiales.

Sepanyol diundi dalam kumpulan B bersama Portugal, Maghribi dan Iran. Dengan prestasi sebagai negara yang menyediakan satu daripada liga paling meriah di dunia, di atas kertas skuad La Roja itu adalah antara pasukan pilihan untuk temasya kali ini.

Mereka akan turun kali pertama menentang Portugal pada jam 2 pagi 16 Jun (waktu Malaysia) ini.

Lihat Komen
ADS