Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Sumpahan buat Jerman, aksi suram Neymar dan Messi
Diterbitkan:  Jun 19, 2018 1:10 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

PIALA DUNIA 2018 | Masuk hari kelima Piala Dunia 2018, beberapa kejutan awal dapat disaksikan dalam peringkat kumpulan apabila pasukan-pasukan pilihan tewas atau sekadar seri.

Pada perlawananan pembukaan yang disaksikan Presiden Vladimir Putin, Rusia memberi isyarat awal untuk menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah sebaik mungkin setelah membenam Arab Saudi dengan kemenangan 5-0.

Pemain ganti Denis Cheryshev merebut peluang membuktikan kemampuannya apabila menyumbang dua gol untuk menjadikan perlawanan itu sebagai gol kedua tertinggi pernah dicetak tuan rumah dalam siri Piala Dunia. (1934, Itali 7-Amerika 1)

Rusia mendahului kumpulan A setelah Uruguay yang dilihat sebagai pasukan pilihan sekadar menang tipis ke atas Mesir 1-0.

Mesir bagaimanapun tidak menurunkan bintang Liverpool Mohamed Salah yang baru sembuh daripada kecederaan.

Namun, Rusia masih perlu mengatasi Mesir dan Uruguay, sementara Luis Suarez perlu membantu pasukannya menang dalam perlawanan dengan tuan rumah dan Arab Saudi untuk ke peringkat seterusnya.

Di kumpulan B, Iran mendahului carta hasil kemenangan ke atas Morocco. Dua pasukan gergasi kumpulan itu, Portugal dan Sepanyol sekadar mengutip satu mata dalam perlawanan yang berakhir seri 3-3.

Hatrik penyerang sensasi Cristiano Ronaldo merupakan aksi yang paling menarik di peringkat awal ini.

Peluang masih terbuka luas di kumpulan C bagi keempat-empat pasukan yang hanya berjarak satu gol.

Juara Piala Dunia 1998, Perancis sekadar menang 2-1 ke atas Australia melalui jaringan Antoinne Griezmann dan Paul Pogba.

Sementara Denmark mengutip tiga mata hasil menang tipis ke atas Peru 1-0 melalui sepakan penalti.

Misi Lionel Messi untuk membawa pasukannya menebus kekalahan peringkat akhir pada 2014 tidak begitu menunjukkan tanda awal yang baik di pasukan D.

Argentina seri 1-1 kepada Iceland yang turut menyaksikan bintang Barcelona itu gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Croatia mendahului peringkat kumpulan D setakat ini selepas menang 2-0 ke atas Nigeria.

Di kumpulan E, Brazil dilihat masih dibayangi rekod buruk perlawanan pembukaan ketika menjadi tuan rumah pada musim lalu selepas gagal menundukkan Switzerland.

Meskipun menjadi pasukan pertama layak pada musim ini, jaringan Philippe Coutinho untuk Brazil sekadar memberikan keputusan seri 1-1, dengan kritikan terhadap Neymar Jr mula mengisi ruangan forum bola sepak.

Serbia mendahului carta kumpulan itu selepas menang ke atas Costa Rica 1-0.

Demikian halnya di kumpulan F, aksi pembukaan Jerman menyaksikan penyandang Piala Dunia musim lalu itu tersungkur di tangan pasukan Mexico. Jaringan tunggal perlawanan dihasilkan oleh Hirving Luzano pada minit ke-35.

Mexico kini berkongsi tiga mata dengan Sweden yang berjaya menewaskan Korea Selatan.

Meskipun baru di peringkat permulaan, kekalahan pertama Jerman dalam perlawanan pembukaan sejak 1982 itu dilihat mengikuti 'sumpahan' kebanyakan juara bertahan yang tidak beraksi cemerlang di peringkat kumpulan.

Perancis dan Itali berada di posisi tercorot dalam kumpulan masing-masing pada Piala Dunia 2002 dan 2010, sementara Sepanyol gagal ke menjadi pasukan 16 teratas pada Piala Dunia 2014.

Brazil yang memenangi Piala Dunia 2002 satu-satunya pasukan yang merupakan penyandang kejuaraan melangkah ke suku akhir pada Piala Dunia 2006.

Di Kumpulan G, Belgium memulakan kempen Piala Dunia kali ini dengan menewaskan Panama 3-0.

Penampilan pertama pasukan itu menyaksikan dua jaringan penyerang Manchester United Romelu Lukaku, yang dibantu Eden Hazard dan Kevin De Bruyne.

Sementara Harry Kane menjadi wira England dalam menundukkan Tunisia 2-1.

Tandukan Kane ketika kedudukan terikat 1-1 pada masa kecederaan memastikan permulaan yang menggembirakan kepada penyokong The Three Lions.

Perlawanan kumpulan H akan berlangsung malam ini menyaksikan pasukan Jepun menentang Colombia dan Poland berdepan Senegal.

Lihat Komen
ADS