Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Zii Jia akui perlu lebih matang
Diterbitkan:  Jun 20, 2018 11:41 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Pemain muda Lee Zii Jia menganggap komen positif yang diberikan oleh jurulatih dan pemain senior Datuk Lee Chong Wei mengenai prestasinya pada Piala Thomas yang lalu adalah pemangkin semangat untuk tampil lebih konsisten selepas ini.

Pemain berusia 20 tahun itu merupakan pemain muda yang mempamerkan aksi membanggakan terutamanya dalam aksi kebangkitan beliau selepas ketinggalan 6-16 sebelum menumpaskan pemain Denmark, Haans Kristian Vittinghus di Bangkok, Thailand dua minggu lalu.

Prestasi terpuji itu menjadikan Zii Jia kini lebih dikenali dan ramai peminat badminton negara mahu menyaksikan perkembangan positif daripada pemain tinggi lampai itu dalam kejohanan lain selepas ini.

Zii Jia, ketika ditemui baru-baru ini, mengakui perlu bekerja keras selain menjadi seorang yang lebih matang seperti pemain muda yang hebat iaitu Kenta Momota dari Jepun dan Viktor Axelsen dari Denmark.

"Apa yang saya lihat perbezaan diri saya dengan Momota dan Axelsen adalah kematangan. Aksi mereka di gelanggang sangat berkeyakinan dan saya tahu mereka juga bekerja keras untuk sampai ke tahap setanding dengan pemain senior yang lain.

"Jurulatih boleh membantu dalam latihan sahaja selebihnya adalah diri sendiri. Saya gembira prestasi semakin bagus tetapi tidak boleh terlalu berpuas hati kerana jurang perbezaan saya dengan Datuk Lee Chong Wei serta pemain muda yang hebat dari negara lain masih jauh," katanya kepada Bernama.

Pemain yang mempunyai ketinggian 186 sentimeter itu berharap penampilan di Kejohanan Terbuka Thailand dan Singapura pada bulan depan lebih meningkat dan dapat menaikkan ranking dunia, yang ketika ini di tangga ke-45.

Zii Jia berkata beliau dan rakan-rakan sepasukannya perlu ada keazaman tinggi dalam diri masing-masing untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan dan tidak boleh cepat berputus asa.

"Prestasi kami (pemain muda) lebih kurang sama, perbezaan hanya semangat berjuang dan pengalaman. Jurulatih hanya boleh bantu dalam latihan, selebihnya adalah kemahuan diri sendiri," katanya.

Perkembangan positif Zii Jia itu turut mendapat perhatian bekas pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann yang menyifatkan barisan pemain muda naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai peluang cerah sekiranya bersungguh-sungguh dalam karier badminton.

Jelasnya kematangan sangat penting bagi semua pemain jika mahu menjadi pemain yang berjaya seperti senior mereka Chong Wei.

"Saya juga ada berbual dengan Chong Wei mengenai pemain muda ini. Mereka perlu menggunakan segala kemudahan serta kepakaran yang diberikan sebaiknya-baiknya terutamanya perbaiki prestasi.

"Saya fikir tidak adil untuk menilai mereka kerana kami dalam era yang berbeza. Mereka masih ada masa dan peluang untuk perbaiki prestasi. Paling penting adalah semangat berjuang untuk negara bukan untuk diri sendiri," kata bekas pemain nombor satu dunia pada 2002 itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS