Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Rusia pasukan pertama layak ke saingan kalah mati
Diterbitkan:  Jun 20, 2018 12:35 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

PIALA DUNIA 2018 | Rusia menjadi pasukan pertama yang layak ke saingan kalah mati selepas mencatat kemenangan ke atas Mesir 3-1 awal pagi tadi.

Dengan menurunkan senjata utamanya Mohamed Salah buat kali pertama dalam kempen kali ini, Mesir dilihat lebih yakin berbanding ketika ditewaskan Uruguay 0-1.

Penyerang Liverpool itu sempat mengkucar-kacirkan pertahanan Rusia di babak pertama.

Rembatan kaki kiri Salah pada minit ke-41 nyaris menghasilkan gol namun bola melencong ke sisi kanan gawang.

Babak pertama tamat tanpa sebarang jaringan.

Gol pertama perlawanan hadir dua minit selepas babak kedua bermula akibat kesilapan kapten pasukan Mesir Ahmed Fathi yang gagal menampan kemas bola leret Roman Zobnin dan seterusnya menyebabkan bola melepasi gawangnya sendiri.

Mendahului satu gol, Rusia merancakkan serangan dan pada minit ke-59, hasil umpanan silang Mario Fernandes, pemain tengah Denis Cheryshev mudah menolak masuk gol kedua perlawanan.

Chersyev pada perlawanan sebelum ini telah menyumbang dua gol buat pasukannya yang sekali gus membuatkan namanya mula disebut-sebut.

Hanya selepas tiga minit berselang, giliran Artem Dzyuba menyumbat gol ketiga buat Rusia.

Satu-satunya gol buat Mesir hadir melalui selepas Salah dijatuhkan pada minit ke-71 yang membuat pengadil memberikan sepakan penalti.

Salah mudah memperdaya penjaga gawang Rusia Igor Akinfeev untuk meletakkan keputusan 3-1.

Terdesak untuk mengejar, Mesir terus membuat serangan dan cuba memanfaatkan dua puluh minit terkahir.

Namun kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Pasukan tuan rumah Rusia yang kini mendahului dengan enam mata dalam kumpulan A akan layak ke peringkat kalah mati, sementara Uruguay mempunyai peluang cerah sekiranya mengalahkan Arab Saudi malam ini.

Peluang Mesir pula untuk terus mara semakin suram apabila kini berada di tangga tercorot kumpulannya selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Lihat Komen
ADS