Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dua gol 'Helang Albania' kecewakan penyokong Serbia
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 9:38 PM
Dikemaskini: 4:24 PM

PIALA DUNIA 2018 | Sesetengah penyokong tidak suka apabila sukan dipolitikkan atau ahli sukan berpolitik, namun itu tidak menghalang kedua-duanya bertembung di padang di Kaliningrad, Rusia.

Ia terjadi dalam perlawanan yang menyaksikan Switzerland mengalahkan Serbia 2-1 bagi saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Dua gol yang mengecewakan rakyat Serbia itu lebih daripada sekadar mata penuh untuk membawa Switzerland selesa ke perlawanan seterusnya.

Ia adalah dua gol yang didedikasikan untuk rakyat Kosovo, yang masing-masing dijaringkan oleh Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri.

Kedua-dua pemain berketurunan Albania itu dilihat meraikan gol mereka dengan tangan yang membentuk dua helang - simbol yang juga tertera pada bendera yang sering dikibarkan warga Albania di Kosovo sebagai tidak mengiktiraf penguasaan Serbia di negara mereka.

Shaqiri dilahirkan di Kosovo, wilayah yang pernah di bawah kekuasaan Serbia, yang juga merupakan tempat kelahiran ibu bapa Xhaka.

Pada 2008, Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia, namun hubungan kedua-dua negara itu tegang sehingga kini, dengan warga Albania mendakwa Serbia melakukan jenayah perang ke atas mereka.

Shaqiri, yang turut bermain untuk kelab Stoke City dan kini sedang diintai Liverpool, menyifatkan tindakannya ketika meraikan gol dalam perlawanan menentang Serbia itu hanyalah kerana terlalu beremosi.

"Dalam bola sepak kau akan sentiasa beremosi. Apa yang aku buat hanyalah emosi.

"Aku gembira menjaringkan gol, itu saja. Kita tak perlu cakap tentang hal ini sekarang," katanya.

Adakah ia tindakan spontan? Ramai pihak tidak berpendapat demikian apabila mengambil kira bendera Kosovo yang tertera pada kasut yang dipakai Shaqiri.

Pengurus Switzerland Vladimir Petkovic yang mengulas perkara itu bagaimanapun tidak begitu gembira dengan tindakan kedua-dua pemainnya.

Petkovic menegaskan bahawa politik tidak seharusnya dicampuradukkan dengan sukan.

Sementara pengurus pasukan Serbia Mladen Krstajic pula enggan mengulas perkara itu.

Susulan itu, Persatuan Bolasepak Serbia (FSS) mengumumkan akan membuat aduan kepada Fifa berhubung tindakan Shaqiri itu.

Kemenangan 2-1 ke atas Serbia meletakkan Switzerland di tangga kedua dalam kumpulan E dan kini hanya perlu berdepan Costa Rica yang sudah tersingkir untuk ke peringkat kalah mati.

Lihat Komen
ADS