Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden FAM bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap pemilihan parti berkenaan.

Annuar yang juga calon timbalan presiden Umno berkata keputusannya itu dibuat atas komitmen yang diperlukan untuk memberi tumpuan penuh kepada parti.

"Saya perlu memberi tumpuan, masa dan tenaga tidak berbelah bahagi dalam proses untuk memperkasakan Umno.

"Apabila saya tidak terlibat dalam pengurusan bolasepak maka dapatlah saya memberi segala tumpuan yang diperlukan dalam usaha memulih dan memperkasakan Umno," katanya pada sidang media di Sandakan, Sabah, hari ini.

Beliau yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata keputusannya itu juga adalah untuk memberi laluan kepada Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin supaya dipilih tanpa bertanding sebagai presiden.

Annuar berkata selepas menghantar borang menerima pencalonan jawatan itu pada 1 Jun lepas, beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta dengan anggota kongres FAM di kalangan persatuan bola sepak negeri.

"Dalam perbincangan itu khususnya dengan TMJ, saya telah diberi nasihat dan pandangan yang saya sangat hargai khususnya TMJ sendiri sebagai seorang yang masih terlibat dengan bolasepak negara.

"Selepas berfikir secara mendalam saya mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada Hamidin supaya dipilih sebagai Presiden FAM tanpa bertanding," katanya.

Pemilihan jawatan dalam FAM akan diadakan pada kongres ke-54 badan induk bola sepak itu pada 14 Julai depan.

Annuar berkata keputusannya itu turut didorong komitmennya sebagai anggota parlimen Ketereh merangkap pembangkang di parlimen.

"Saya berasakan perlu memberikan tumpuan membentuk barisan pembangkang yang kuat, berwibawa dan berkeupayaan tinggi kerana rakyat sangat memerlukan jurubicara membawa suara rakyat ke Parlimen," kata Annuar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS