Perlawanan kelayakan Kumpulan H ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia malam ini menyaksikan Jepun tewas 0-1 kepada Poland sementara Colombia menang 1-0 ke atas Senegal.

Poland yang telah tersingkir daripada saingan mendapat jaringan gol melalui Jan Bednarek pada minit ke 59 yang mengakibatkan Jepun terpaksa bergantung pada keputusan satu lagi perlawanan kumpulan itu bagi menentukan nasibnya.

Meskipun Jepun kalah kepada Poland, tetapi disebabkan kemenangan Colombia terhadap Senegal di Stadium Samara, maka pasukan matahari terbit itu mengakhiri saingan Kumpulan H di anak tangga kedua, berkongsi kedudukan dengan negara Afrika itu.

Bezanya Jepun memiliki rekod disiplin yang lebih baik sepanjang permainan Kumpulan H apabila kurang dua kad kuning berbanding pasukan Senegal.

Colombia mengutip jaringan gol melalui tendangan Yerry Mina pada minit ke-74 permainan.

Dengan kekalahan ini, ditambah Senegal memiliki lebih banyak kad kuning daripada Jepun, maka pasukan itu terkeluar daripada pusingan kalah mati selanjutnya.