'Kenapa aku bodoh sangat bro'
PIALA DUNIA 2018 | Dilema Belgium dalam perlawanan menentang England awal pagi tadi dapat dilihat ketika jaringan tunggal perlawanan oleh Adnan Januzaj.
Di sebalik kegembiraan yang terpahat itu, ada insiden yang lucu tetapi boleh mencalar imej pasukan berkenaan.
Belgium berada di depan England pada minit ke-51 selepas bola dimasukkan ke gawang oleh Adnan Januzaj.
Sebagai aksi meraikan jaringan berkenaan, rakan sepasukan Adnan, Michy Batshuayi pantas menyambar bola yang termuntah dari gawang dan menendang semula bola itu sebagai tanda meraikan kejayaan tersebut.
Masalahnya, bola itu ditendang sembarangan. Ia meluncur laju ke arah tiang kiri gol England, lalu melantun sebelum hinggap di muka Batshuayi.
Di hadapan ribuan penonton dalam perlawanan sukan paling berprestij di dunia itu, pemain Chelsea terbabit memastikan namanya akan dikenang melalui klip-klip kompilasi video YouTube untuk tahun-tahun mendatang.
Dan untuk pastikan kalau-kalau ada yang terlepas siarang langsung itu, selepas perlawanan, Batshuayi menulis di Twitter: "Kenapa aku bodoh sangat bro?"
Ahahha I knew I would be f*cked the minute I come to my mentions ???????????? why am I so stupid bro ??♂️ shit hurts
— Michy Batshuayi (@mbatshuayi) June 28, 2018
Jika ada apa-apa yang boleh disimpulkan daripada perlawanan berkenaan awal pagi tadi, ia adalah bagaimana kedua-dua pasukan - yang layak ke saingan kalah mati - berusaha mahu menjadi naib juara kumpulan.
Terima kasih kepada kekalahan anak buah Joachim Low yang mengecewakan penyokong Jerman (dan mungkin sejumlah anak muda generasi Z).
Kini ruang bagi kedua-dua pasukan kumpulan G untuk mara ke peringkat lebih jauh dilihat lebih terbuka.
Perlawanan itu berakhir dengan Belgium menang 1-0, namun kita boleh bayangkan, di bilik persalinan Harry Kane yang duduk di kerusi simpanan bermati-matian tahan ketawa kerana England kini akan berjumpa Colombia minggu depan.
Dengan kecederaan James Rodriquez - atau nama julukan di Wikipedianya, 'James Bond of Banfield' yang akan mengehadkan jentera Colombia di bahagian tengah - penyokong pasukan Three Lions yang jarang-jarang kelihatan (setidaknya di restoran mamak sekitar Kuala Lumpur) mula menggeledah almari mencari jersi David Beckham mereka.
Sementara pasukan Belgium, yang melangkah ke saingan kalah mati sebagai juara kumpulan, mereka perlu meyakinkan diri bahawa pasukan Brazil yang ada hari ini bukanlah pasukan Brazil yang dulu, dan Mexico hanya kebetulan mengalahkan Jerman sebelum ini.
Oh no what is you doing @Mbatshuayi?? ??? pic.twitter.com/Gda4lv8eCt
— FOX Soccer (@FOXSoccer) June 28, 2018

