PIALA FA | Disiplin tinggi ketika bertahan dan melancarkan serangan merupakan faktor utama membantu Pahang menewaskan PKNP FC 2-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2018 di Stadium Perak Ipoh malam tadi.
Pengendali skuad Pahang, Dollah Salleh, berkata meskipun pasukan tuan rumah melancarkan serangan bertali arus ke gawang gol pasukannya namun pemain kekal fokus, malah berjaya menjaringkan dua gol.
"Pada awal permainan babak pertama kita nampak selesa dalam penguasaan bola daripada pihak lawan dan kita berjaya mendahului PKNP.
"Masuk separuh masa kedua, kita sekali lagi dapat jaringkan gol namun selepas itu pemain sedikit hilang fokus hingga PKNP berjaya rapatkan kedudukan," katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus perlawanan.
Pada perlawanan berkenaan, gol Pahang disumbangkan Austine Amutu pada minit ke-32 dan Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit ke-75.
PKNP pula mendapat gol sagu hati pada minit ke-80 hasil sepakan penalti pemain import, Franklin Anzite selepas bola terkena tangan pertahanan Pahang dalam kotak penalti.
Dollah turut memuji aksi yang ditampilkan pemain muda PKNP kerana berjaya mengimbangi corak permainan Pahang.
"PKNP nampak lebih tersusun, teratur dan nampak mereka menyerang cuma terlepas banyak peluang. Bagaimanapun, saya turut berbangga dengan pemain saya kerana berdisiplin dalam meraih kemenangan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNP Abu Bakar Fadzim berkata kegugupan selain terlalu menghormati Pahang antara punca anak buahnya gagal mencipta sejarah layak kali pertama ke pentas final Piala FA.
Bagaimanapun Abu Bakar akur dengan keputusan tersebut selain berpuas hati dengan keseluruhan persembahan yang ditonjolkan anak buahnya.
- Bernama
