PIALA DUNIA 2018 |  Mungkinkah 'tuah' Vladimir Putin mempunyai peranan untuk membawa skuad kebangsaan Russia melangkah setapat lebih jauh dalam saingan Piala Dunia kali ini.

Menurut media, sebelum turun menentang Sepanyol di Stadium Luzhniki awal pagi tadi, presiden Russia itu menghubungi anak buah Stanislav Cherchesov untuk memberikan kata-kata perangsang.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata Putin menghubungi jurulatih terbabit pada waktu tengahari.

"Presiden Russia bercakap dengan Cherchesov dan mengucapkan selamat maju jaya kepada anak buahnya," kata Peskov seperti dipetik BBC.

Dalam perlawanan yang dianggap sedikit membosankan, skuad kebangsaan Russia mengetepikan juara Piala Dunia 2010 itu selepas berhempas pulas bertahan di kawasan sendiri pada kebanyakan masa.

Pemenang perlawanan tersebut gagal ditentukan walaupun berlanjutan sehingga 120 minit.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat waktu tambahan. Untuk rekod kedua-dua gol berkenaan dijaringkan oleh pemain Russia.

Sepanyol yang membawa reputasi tinggi kerana membariskan ramai pemain terkenal berada di depan seawal minit ke-11 apabila pemain Russia, Sergei Ignashevich, menghadiahkan gol buat pasukan pelawat.

Kedudukan kembali setara apabila pengadil memberikan tendangan penalti buat Russia pada minit ke-41 dan ia disempurnakan oleh Artem Dzyuba.

Apabila penentuan melalui penalti diadakan, akhirnya Russia muncul pemenang dengan jaringan 4-3.

Putin tidak menghadiri perlawanan berkenaan dan belum dapat dipastikan sama ada dia akan muncul apabila skuad tersebut turun menentang Croatia pada pusingan suku akhir 8 Julai nanti.

Kejayaan melangkah ke pusingan suku akhir itu membuat seluruh negara berpesta malam tadi.

Secara bandingan Russia berada di kedudukan ke-70 dan menjadi pasukan tercorot mengikut ranking Fifa berbanding skuad lain yang menyertai Piala Dunia kali ini.

Di peringkat kumpulan Russia memulakan kempen Piala Dunia 2018 dengan mengalahkan Arab Saudi 5-0, Mesir (3-1) tetapi tunduk 0-3 kepada Uruguay.

Peskov berkata skuad kebangsaan Russia di bawah kendalian Cherchesov berjaya mencatat kejayaan luar biasa.

"Putin juga memberitahu, sama ada pasukan itu menang atau kalah menentang Sepanyol, tiada sesiapa akan mengecam mereka," katanya.