Mexico gagal menghalang Brazil daripada menjadi satu daripada lapan pasukan yang bakal bersaing untuk pusingan suku akhir Piala Dunia edisi 2018 di Russia sebentar tadi.

Skuad Canarinho (kenari cilik) itu menjadi pasukan kelima menempah tempat ke pusingan berkenaan selepas Perancis, Croatia, Uruguay dan tuan rumah Russia.

Dalam perlawanan Samara Arena itu pasukan di bawah bimbingan Tite itu menundukkan Mexico 2-0 hasil jaringan Neymar pada minit ke-51 dan Roberto Firmino (minit ke-88).

Brazil bakal berdepan Belgium atau Jepun pada pusingan lapan terbaik nanti. Lawan mereka akan ditentukan pada pertemuan di Stadium Rostov pada jam 2 pagi ini (waktu Malaysia).

Terdahulu sesetengah peminat bola sepak meramalkan anak buah Tite itu tidak mampu berjuang lebih lama dan bakal mengikut jejak langkah pasukan ternama lain - seperti Argentina, Jerman, Sepanyol dan Portugal - yang terpaksa membungkus kelengkapan masing-masing lebih awal apabila ditunjuk jalan pulang oleh lawan.

Untuk rekod Jerman ialah juara Piala Dunia edisi 2014 manakala Sepanyol empat tahun sebelum itu.

Argentina pula membawa reputasi tinggi kerana seorang daripada anggota skuad itu ialah antara pemain terbaik dunia, iaitu Lionel Messi.

Portugal pula ialah juara Eropah pada 2016 dan membariskan pemain terbaik dunia 2017, Ronaldo.

Jaringan Neymar pada perlawanan sebentar tadi juga meletakkan Brazil mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan paling banyak mencetak gol dalam sejarah Piala Dunia.

Gol Neymar itu adalah yang ke-277 untuk Brazil. Apabila perlawanan tamat skuad berkenaan kini mencatatkan 228 gol, sekali gus menenggelamkan nama Jerman yang hanya memiliki 226 gol.

Sepanjang permainan Brazil membuat 20 percubaan dengan 10 daripadanya tepat ke sasaran, berbanding 14 oleh Mexico. Daripada jumlah itu hanya satu terarah ke gawang Brazil.