Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Syed Saddiq tak mahu bawa budaya balas dendam

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa pihaknya tidak mahu membawa budaya witch hunt iaitu mencari kesilapan pentadbiran yang terdahulu.

Bagaimanapun, menteri termuda yang berusia 25 tahun itu berkata, jika terdapat salah laku dalam pentadbiran berkenaan, pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Katanya, daripada mencari kesilapan lepas, beliau mahu memberi fokus kepada apa yang boleh ditawarkan demi kepentingan rakyat.

“Saya tidak mahu diwarnakan atau dicorakkan sebagai budaya balas dendam, di mana untuk menyerlahkan diri saya, saya menjatuhkan atau memburukkan imej kerajaan lepas dengan kesilapan yang sedia ada.

“Tetapi saya mahu fokus kepada apa yang kita boleh tawarkan kepada rakyat dan pastikan jika ada kesilapan yang lepas, ia tidak diulangi. Sebab fokus anak muda kini, kalau kita hanya bentangkan kesilapan lepas, mereka akan tanya what we can afford (apa yang kita mampu lakukan)?

“Contohnya bagaimana kita boleh kurangkan harga rumah, bagaimana selesaikan isu kos sara hidup, pastikan peluang pekerjaan dicipta secukupnya, isu kolej vokasional dan sebagainya. Jadi fokus yang sama rata kepada bahagian belia dan sukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melaporkan diri di KBS di Putrajaya, hari ini.

Ketua pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut menegaskan bahawa, pihaknya akan meneruskan semua program dan dasar di bawah menteri dahulu, sekiranya ia membawa kebaikan kepada rakyat dan industri sukan negara seperti Fit Malaysia, Hari Sukan Negara (HSN) dan Perdana Fellowship.

Mengenai Program Podium, anggota Parlimen Muar itu berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mendalam dengan pakar sukan dan para atlet dalam menentukan masa hadapan program atlet elit itu.

Beliau turut memberi jaminan tidak ada mana-mana sukan yang akan dipinggirkan, sebaliknya bekerjasama dengan persatuan-persatuan sukan terbabit untuk mencari jalan membangunkan sukan berkenaan.

“Contohnya, apabila saya menekankan E-Games, bukan kerana ia sahaja sukan penting, tapi saya rasa E-Games sering dipinggirkan pada zaman teknologi yang sedia ada, apabila kita dapat bangunkan infrastruktur berkaitan, kita turut dapat bangunkan infrastruktur berkaitan pembangunan perisian, kejuruteraan perisian yang banyak beri peluang pekerjaan kepada pemain,” katanya.

Mengenai Sukan Asia Indonesia yang dijadualkan bermula 18 Ogos hingga 2 Sept ini, beliau terlebih dahulu mahu meneliti Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kontinjen negara, sebelum membincangkan perkara itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS