Kerana gagal sumbat gol penyerang Denmark diugut bunuh
PIALA DUNIA 2018 | Persatuan Bola Sepak Denmark membuat laporan polis susulan pemain penyerang mereka, Nicolai Jorgensen, diancam untuk dibunuh.
Semua gara-gara dia gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan menentang Croatia, malam semalam.
Pada perlawanan di Stadium Nizhny Novgorod itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan sebelum pemenang diputuskan melalui penentuan penalti.
Mathias Jorgersen berjaya menyumbang gol tunggal untuk pasukannya ketika semua 22 pemain serta pegawai perlawanan boleh dianggap belum panas.
Gol Mathias itu dijaringkan pada minit pertama perlawanan.
Bagaimanapun gol balas Croatia juga terlakar ketika perlawanan belum panas. Ia disumbangkan oleh pemain Juventus, Mario Mandzukic berselang tiga minit kemudian.
Ketika penentuan melalui sepakan penalti pula, Nicolai gagal meledakkan gol sekali gus membantutkan langkah Denmark pada saingan Piala Dunia 2018.
"Cukuplah. Masyarakat tidak dapat terima ugutan bunuh - tidak sama sekali kepada bintang bola sepak, ahli politik dan lain-lain.
"Ia tidak senonoh dan benar-benar tidak dapat diterima. Kami mahu selesaikan kes ini dengan melaporkan kepada pihak polis," kata persatuan itu dalam kenyataan di Twitter seperti dilaporkan Reuters.
Laporan tersebut juga menyebut, Nicolai dikecam dengan dengan bahasa kasar di Facebook dan Instagram.
Bagaimanapun, sebahagian penyokong tetap mempertahankan pemain terbabit.
Terdahulu, Denmark yang diundi dalam kumpulan C berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas berada di kedudukan kedua peringkat kumpulan.
Sepanjang saingan dalam kumpulan C, anak buah Aage Hareide itu merekodkan satu kemenangan - ketika berdepan Peru - dan dua keputusan seri - semasa bertemu Australia dan Perancis - bagi mengutip lima mata.

