PIALA DUNIA 2018 | Jaringan tunggal Emil Forsberg pada minit ke-66 membawa Sweden ke peringkat suku akhir selepas menyingkirkan Switzerland 1-0 di Stadium Saint Petersburg, Rusia, sebentar tadi.

Anak buah Janne Andersson dari awal sepak mula dilihat berdepan kesukaran apabila pihak lawan lebih menguasai bola.

Namun, percaturan Switzerland juga serba tidak menjadi walaupun jentera serangan mereka didalangi penggempur ternama.

Kelibat pemain seperti Xherdan Shaqiri, Granit Xhaka dan Ricardo Rodriguez juga gagal menemui sentuhan sempurna.

Tampil dengan rentak waspada, kedua-dua pasukan masing-masing beradu kekebalan di bahagian pertahanan.

Di sebalik penguasaan Switzerland, Sweden seakan terpaksa akur untuk lebih banyak bertahan dan mencuri kesempatan yang ada denagn melakukan serangan balas pantas.

Dan peluang itu muncul pada minit ke-66 dan tidak disia-siakan Forsberg dengan rembatan dari bahagian tengah luar kotak penalti.

Bagaimanapun jaringan bintang RB Leipzig itu dibantu biasan bola yang terkena kaki pertahanan lawan sekali gus menewaskan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.

Keputusan 1-0 itu menyaksikan Sweden bakal berdepan sama ada England atau Colombia untuk penentuan ke separuh akhir.