Colombia gagal sekat England
PIALA DUNIA 2018 | Hasrat Colombia untuk menyekat kemaraan England tidak berhasil dan ternyata nasib lebih berpihak kepada skuad The Three Lions.
Ia menyaksikan anak buah Gareth Southgate menjadi pelengkap lapan pasukan terbaik ke peringkat suku akhir selepas berjaya dalam penentuan penalti, sebentar tadi.
Selepas terikat 1-1 mengharungi 120 minit perlawanan dalam aksi di Stadium Spartak, Rusia itu, Colombia terpaksa aku dengan kekalahan 3-4.
Ketika sepakan penalti ketiga untuk England - Jordan Henderson gagal sudahi dengan sempurna, dan dua pemain Colombia ditimpa nasib sama.
Mateus Uribe dan Carlos Bacca gagal dalam dua sepakan terakhir untuk pasukannya, manakala Kieran Trippier dan Eric Dier menyudahkan tugasan dengan baik untuk penyokong England bergembira.
Terdahulu, aksi atas padang menyaksikan persembahan seimbang antara kedua-dua pasukan khususnya dalam 45 minit pertama.
England tampil dengan tempo permainan pantas memaksa pihak lawan melayan tindak tanduk Harry Kane dan rakan-rakan dengan waspada.
Saling berbalas serangan, percaturan Colombia kelihatan kurang menyengat dan gagal mengawal bola dalam tempoh agak lama.
Keadaan itu memaksa mereka lebih banyak bertahan di samping cuba membuat serangan balas pantas ke arah benteng pertahanan England.
Namun, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan gol pada sepatuh masa pertama.
Kembali dari bilik rehat, England meneruskan penguasaan mereka, manakala Colombia tetap tidak memberi laluan mudah.

Sehinggalah pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada England selepas mengesan kekasaran pemain Colombia di kawasan kota penalti.
Peluang itu tidak disia-siakan Kane untuk menjaringkan gol tunggal mereka pada minit ke-57.
Bagaimanapun, kegembiraan England masih tertunda selepas Colombia berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Yerry Mina pada masa kecederaan.
Terikat 1-1 untuk 90 minit permainan, saingan diheret ke masa tambahan yang turut berakhir tanpa sebarang tambahan gol.

