Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Jualan tiket perlawanan akhir Piala FA hambar
Diterbitkan:  Jul 4, 2018 4:33 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA 2018 antara Pahang dan Selangor pada Sabtu ini, dilihat agak hambar.

Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan untuk memudahkan penyokong pasukan Tok Gajah, tiket berkenaan dijual di Stadium Darul Makmur dan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh.

Tinjauan Bernama di Stadium Darul Makmur di sini setakat pukul 3 petang, mendapati tiada barisan peminat beratur bagi mendapatkan tiket tersebut, selepas kaunter jualan mula dibuka pada pukul 9 pagi.

Seorang penyokong pasukan Pahang Fikri Amin, 40, yang datang pada pukul 10 pagi berkata beliau tidak menyangka 'berhadapan dengan laluan mudah' bagi mendapatkan tiket, kerana sudah beranggapan perlu beratur lama.

"Sekejap sahaja sudah sampai ke kaunter. Ada sembilan kaunter yang dibuka tapi orang tak ramai. Mungkin sebab masih pagi dan hari ini adalah hari bekerja," katanya semasa ditemui di sini, hari ini.

Fikri yang berasal dari Pekan menambah juga beranggapan sambutan yang kurang itu mungkin disebabkan peminat bola sepak lebih berminat untuk mengikuti perlawanan Piala Dunia 2018 yang akan diadakan pada hari yang sama.

Sementara itu, Roslan Othman, 38, dari Felda Bukit Kuantan di Kuantan memberitahu beliau membeli tiga keping tiket dan akan bergerak ke ibu kota pada pagi Sabtu.

Roslan yang turut mengakui suasana kaunter jualan agak lesu masih optimis bahawa penyokong skuad kendalian Dollah Salleh akan memenuhi stadium pada Sabtu ini bagi memberi semangat moral.

"Saya dan keluarga juga amat teruja dan menanti penuh debaran untuk menonton apatah lagi ia peluang kedua buat Pahang merangkul Piala FA selepas gagal melakukannya tahun lalu.

"Ini juga waktu yang penting buat para penyokong menunjukkan sokongan padu kepada pasukan kesayangan dan peluang keemasan ini tidak harus dilepaskan," katanya.

Seorang lagi penyokong, Hidayat Abdul Halim, 40, berkata dia tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan aksi secara langsung perlawanan akhir itu kerana dua pasukan itu 'bukan calang-calang pasukan'.

Beliau yang akan berkonvoi ke Stadium Bukit Jalil bersama-sama rakannya berharap Pahang dapat mengubati kekecewaan merangkul Piala FA selepas tewas kepada Kedah pada tahun lalu.

Suasana penjualan tiket yang kurang memberangsangkan juga berkemungkinan kerana ramai mendapatkan tiket secara online di shopee.com.my, dengan peruntukkan sebanyak 18,000 keping tiket.

Difahamkan sebanyak 25,000 keping tiket diperuntukkan untuk dijual di Stadium Darul Makmur dan 5,000 keping lagi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh bagi memudahkan peminat di kawasan Pahang barat.

Tiket akhir dijual pada harga RM50 sekeping dan dihadkan kepada empat keping bagi setiap transaksi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Norlia Abdul Manaf ketika dihubungi berkata pihaknya belum menerima laporan mengenai faktor kurangnya orang ramai membeli tiket di kaunter.

"Saya difahamkan memang sambutan agak kurang kali ini...sama ada ia disebabkan orang ramai lebih gemar membeli secara dalam talian itu saya belum dapat pastikan.

"Apapun saya masih menunggu laporan tentang jualan tiket tersebut," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS