Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi penggal 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Mohd Asmirul Anuar Aris berkata Mukhriz menerima pencalonan terbanyak, sekali gus menang tanpa bertanding setelah pencalonan bagi jawatankuasa persatuan itu ditutup.

Katanya Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Abd Rahman Abdullah pula menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Bagaimanapun kata Mohd Asmirul keputusan penuh pemilihan bagi jawatankuasa baru itu yang turut menyaksikan pertandingan lebih lima penjuru bagi jawatan naib presiden hanya akan diumumkan pada mesyuarat pemilihan pada Khamis depan.

"Selepas barulah kami akan buat penstrukturan semula KFA dengan menambah baik pengurusan persatuan," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

- Bernama