PIALA DUNIA 2018 | Perancis mara ke aksi peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 dengan bergaya selepas menewaskan Uruguay 2-0, sebentar tadi.

Pada perlawanan suku akhir di Stadium Nizhny Novgorod, Rusia itu, anak buah Didier Deschamps tidak berdepan tekanan besar walaupun pihak lawan turut memberi saingan sengit.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang di separuh masa pertama, namun Perancis dilihat lebih menguasai bola dan serangan.

Uruguay yang mempertaruhkan ayam tambatannya, Luis Suarez lebih banyak mengatur serangan melalui serangan balas pantas, malah percaturan anak didik Oscar Tabarez mudah dibaca pertahanan Perancis.

Terikat dengan kedudukan tanpa jaringan di penghujung abak pertama, Perancis bagaimanapun berjaya memisahkan kedudukan pada minit ke-40.

Bola berpunca daripada tendangan bebas, disambar dengan tandukan padu Raphael Varane sekali gus menewaskan penjaga gol lawan, Fernando Muslera.

Sejurus kemudian Uruguay hampir-hampir menyamakan kedudukan, sayangnya tandukan Martin Caceres berjaya diselamatkan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.

Separuh masa kedua, Perancis kembali dari bilik rehat dengan langkah kanan untuk tampil lebih selesa.

Uruguay sekali lagi dihukum dengan gol kedua susulan kesilapan Muslera pada minit ke-61 membolehkan Perancis selesa di depan melalui jaringan Griezmann.

Keputusan itu menyaksikan Perancis bakal turun berdepan sama ada pasukan Brazil atau Belgium untuk penentuan ke perlawanan akhir.