Maguire, Alli jadi wira England
PIALA DUNIA 2018 | England berjaya meneruskan perjuangan di pentas Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Sweden 2-0, sebentar tadi.
Aksi suku akhir yang berlangsung Samara Arena, Rusia itu membawa anak buah Gareth Southgate ke peringkat separuh akhir.
Gol jaringan pemain pertahanan, Harry Maguire dan pemain tengah, Dele Alli pada perlawanan itu sudah cukup untuk menafikan hasrat Sweden.
England pada awalnya tampil menguasai perlawanan dengan tempo permainan sederhana dengan hantaran-hantaran jarak dekat.
Sweden pula menyaingi penguasaan lawan dengan hantaran jauh di samping menanti peluang melakukan serangan balas pantas.
Hampir setengah jam tanpa sebarang gol, England kemudiannya berjaya memecahkan kebuntuan melalui Maguire.
Berpunca daripada sepakan penjuru, bintang Leicester City itu mengungguli perebutan udara bagi melakukan tandukan sempurna menewaskan penjaga gol lawan, Robin Olsen pada minit ke-30.
Dengan kedudukan 1-0 itu, England memperlihatkan isyarat dan keghairahan mereka untuk meraih kemenangan.
Menjelang penghujung separuh masa pertama, Raheem Sterling hampir menggegarkan jaring gol Sweden.
Namun, peluang satu lawan satu berdepan Olsen gagal diselesaikan dengan baik.
Sementara itu, 45 minit kedua menyaksikan England tidak memerlukan tempoh yang lama untuk tampil lebih selesa.
Alli memastikan England selesa dengan kelebihan dua gol pada minit ke-59 melalui tandukannya menyambut hantaran lintang Jesse Lingard.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Three Lions menyusul Perancis dan Belgium ke separuh akhir.
Mereka bakal berdepan pemenang antara Russia dan Croatia bagi penentuan ke perlawanan akhir.

