Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Perancis yang dekat di hati Hazard
Diterbitkan:  Jul 9, 2018 5:30 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

PIALA DUNIA 2018 | Menjelang pertemuan separuh akhir buat Belgium awal pagi Rabu ini, salah seorang watak penting dalam pasukan itu mendedahkan, Perancis mempunyai tempat unik dalam hatinya.

Pemain sayap merangkap ketua pasukan Belgium, Eden Hazard, memberitahu pada suatu ketika dulu dia adalah peminat, pengagum dan penyokong Perancis.

Hazard, 27, memberitahu dia mula memintai Perancis selepas skuad berkenaan menjulang Piala Dunia pada 1998. Dia berusia tujuh tahun ketika itu.

Turut mempengaruhi Hazard ialah, dia lahir dan membesar di La Louvière yang terletak di wilayah Hainaut. Penduduk di situ bertutur bahasa Perancis.

Apabila berusia 14 tahun pula Hazard berhijrah ke Lille, Perancis, untuk mengembangkan kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

Selepas menghabiskan masa dua tahun di Akademi Bola Sepak Lille, dia membuat kemunculan pertama bersama kelab berkenaan pada 2007.

"Saya dan adik-adik sememangnya penyokong Perancis berbanding Belgium kerana kami membesar pada 1998.

"Ketika itu tak ada jersi Belgium, jadi kami pakai jersi Perancis," katanya.

Kagum bakat Mbappe

Bagaimanapun Hazard enggan meremehkan pasukan negaranya ketika itu dan mengakui ada ramai pemain yang bagus.

Cuma katanya minat mereka lebih kepada Perancis.

Untuk rekod Hazard ialah anak sulung kepada empat beradik dan semuanya terlibat dalam bola sepak.

Thorgan, 25, pernah menyertai Chelsea pada 2012 namun kurang menyerlah dan dia berpindah ke kelab Jerman, Borussia Monchengladbach tiga tahun kemudian.

Adik mereka Kylian, 22, menyertai pasukan White Star Bruxelles sebelum bertukar angin menyertai kelab Hungary, Ujpest.

Adik bongsu mereka Ethan kini menyertai Akademi Belia Tubize di Belgium.

Belgium hanya selangkah lagi untuk memasuki perlawanan akhir Piala Dunia tahun ini. Satu-satunya pasukan yang dapat menghalang mereka ialah Perancis.

Mereka akan bermain pada jam 2 pagi Rabu (waktu Malaysia).

Nampaknya bukan itu saja yang mendekatkan Hazard kepada Perancis. Bercakap kepada media Hazard memberitahu dia kini gemar benar menyaksikan kelincahan pemain muda Perancis, Kylian Mbappe, 19.

"Banyak yang saya boleh hormati kemampuan Mbappe.

"Andainya dulu dia menonton video saya semasa dia muda, sekarang saya pula leka melihat aksinya.

"Apa yang dilakuka Mbappe luar biasa. Pada era bola sepak moden, kita tak pernah lihat apa yang dia mampu lakukan," kata Hazard.

Di luar padang pula Belgium sebenarnya bergantung juga kepada kemahiran salah seorang pemain terbaik Perancis, Thierry Henry yang berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih.

Bekas pemain berbisa Arsenal itu sedang membantu Roberto Martínez bersama seorang lagi penolong jurulatih, Graeme Jones.

Lihat Komen
ADS