Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Piala Dunia Russia bukan sekadar semangat bersukan
Diterbitkan:  Jul 10, 2018 12:13 PM
â‹…
Dikemaskini: 4:32 AM

PIALA DUNIA 2018 | Ternyata di sebalik kemeriahan dan sorakan penonton di seluruh dunia temasya Piala Dunia 2018 terus dibayangi hal-hal politik.

Sebelum ini dua pemain berdarah Kosovo-Albania dikecam sesetengah pihak kerana menzahirkan lambang dianggap sensitif selepas menjaringkan gol untuk Switzerland semasa membantu pasukan mereka menundukkan Serbia.

Justeru Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri berdepan hukuman atas tindakan mereka menunjukkan simbol helang - merujuk kepada bendera Albania.

Sementara itu sekumpulan peminat bola sepak Syria pula berkunjung ke Russia untuk menyatakan penghargaan mereka terhadap Presiden Vladimir Putin.

Untuk rekod Syria masih berada dalam fasa bergolak dan Damsyik dapat bertahan daripada tekanan pelbagai pihak melalui sokongan diberi Kremlin.

"Kami berada di sini untuk menunjukkan rasa terima kasih kepada Putin yang menyokong kerajaan Syria menghadapi pengganas asing serta IS.

"Tanpa bantuan Russia tidak akan ada Syria pada hari ini," kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Majid.

Selamanya terhutang budi

Dia hadir bersama sekumpulan rakannya di Stadium Olimpik Fisht di Sochi semasa Russia menghadapi Croatia pada 8 Julai lalu.

Dalam perlawanan itu Russia gagal meneruskan langkah mereka sebagai tuan rumah apabila terpaksa berundur melalui penentuan sepakan penalti 3-4.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sepanjang tempoh perlawanan serta masa tambahan.

Kata Majid dia tidak ada masalah untuk menganggap kunjungan mereka ke Russia lebih bersifat politik berbanding sukan.

"Putin penyelamat kami. Tanpa bantuan Putin kami tentu terpaksa hidup di bawah tekanan penyangak IS.

"Syria akan selama-lamanya terhutang budi kepada Putin," katanya.

Rakan Majid, Michael Attalla, berkata mereka tidak dialu-alukan di seluruh dunia namun keadaan berbeza di Russia.

Katanya kalau Piala Dunia diadakan di negara lain mereka pasti dihalang daripada masuk.

"Kami hampir tidak dikehendaki langsung di negara Arab walaupun kami sama-sama bercakap dengan bahasa yang sama dan agama yang sama," katanya.

Sementara itu pada sisi yang bertentangan, pembenci Damsyik menemui 'cinta' baru dengan kemenangan Croatia.

Di media sosial mereka menyatakan rasa gembira kerana menganggap skuad diketuai Luka Modric itu berjaya menundukkan kejahatan Kremlin di Syria yang diwakili pemain Russia.

 

 

Turut menjadi wadah untuk menyatakan pandangan mengenai isu Syria ialah lakaran kartun. Biasanya imej Putin yang menjadi sasaran pengkritik.

Isu yang dibangkitkan ialah kelekaan orang ramai terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria ketika semuanya memberi tumpuan kepada Piala Dunia.

 

 

Sementara itu di pihak Croatia pula, mereka juga sempat mencetuskan kontroversi.

Puncanya, cara pemain pertahanan pasukan itu Domagoj Vida meraikan jaringan kedua semasa menentang Russia.

Vida menjaringkan gol itu pada waktu tambahan (mini ke-100) sebelum Russia kembali menyamakan kedudukan melalui Mario Fernandes 15 minit kemudian.

Vida didakwa memuat naik klip video untuk 'menghadiahkan' gol berkenaan kepada Ukraine - negara yang berperang dengan Russia.

"Hidup Ukraine!" kata pemain berusia 29 tahun itu melalui klip video dimuat naik rakan senegaranya, Ognjen Vukojevic, selepas perlawanan berakhir.

Kedua-dua mereka pernah bermain untuk kelab terkemuka Ukraine, Dynamo Kyiv.

Ekoran insiden itu Vida disiasat Fifa dan boleh dikenakan hukuman jika didapati bersalah.

Namun Vida segera 'menekan brek' dan mengakui tersilap. Katanya, dia tidak berhasrat menghina Russia sebaliknya sekadar bergurau.

"Saya sayangkan orang Russia. Klip itu cuma gurauan," katanya.

Ukraine ialah sebahagian daripada Russia sebelum berlaku pemberontakan dan presiden mereka yang disokong Kremlin, Viktor Yanukovych, digulingkan pada Feb 2014.

Slogan "Hidup Ukraine" berkumandang sebagai kata-kata semangat penyokong pemberontak semasa negara itu mengalami revolusi.

Lihat Komen
ADS