Ekapol Chanthawong hidup sebagai seorang sami Buddha sehinggalah tiga tahun lalu. Dia baru berusia 22 tahun ketika itu.

Pemuda tersebut kemudian melibatkan diri dengan pasukan bola sepak Moo Pa (Babi Hutan) yang dianggotai kanak-kanak sekolah.

Hidup mereka tidak dipedulikan sesiapa kecuali penduduk setempat, sehinggalah kira-kira dua minggu lalu apabila berlaku insiden yang amat mencemaskan.

Ekapol - atau lebih sering disapa sebagai Ek - serta 12 anak buahnya terperangkap di dalam gua di pergunungan Doi Nang Non yang terletak di sempadan Thai - Myanmar.

Sesetengah pihak menyalahkan Ekapol kerana membawa kanak-kanak terbabit memasuki gua berkenaan. Alasan mereka, di pintu gua itu sudah tersedia papan tanda amaran bahawa memasuki kawasan itu pada ketika musim hujan semakin menghampiri memang sangat berbahaya.

Sebagai orang yang sudah dewasa - kini dia berusia 25 tahun - Ekapol sepatutnya tahu apa yang wajar dilakukan.

Namun kelompok yang lebih besar tidak mengecam Ekapol, malah menganggap dia berjiwa besar dan menjadi pelindung kepada 12 kanak-kanak yang terperangkap di dalam gua berkenaan.

Tak siapa nak disalahkan

Menurut penyelamat, semasa di dalam gua Ekapol adalah orang paling lemah berbanding lain-lain. Sebabnya dia mengehadkan pengambilan makanan serta air supaya anak buahnya mendapat bahagian yang lebih.

Dia juga menggunakan pengalaman sebagai sami untuk mengajar kanak-kanak terbabit bermeditasi supaya tenaga masing-masing dapat disimpan sementara menunggu penyelamat sampai.

Seorang ibu mangsa Pornchai Khamluang berkata tanpa Ekapol tidak dapat dipastikan apa nasib yang bakal menimpa kanak-kanak terbabit.

"Apabila mereka semua diselamatkan nanti, kami perlu berterima kasih kepada dia.

"Ek sayang, mak cik takkan menyalahkan kau," katanya kepada stesen TV tempatan.

Sebenarnya Ekapol bukan anak yang mendapat peluang hidup beruntung seperti orang lain. Semasa berusia 10 tahun dia menjadi yatim piatu.

Dia kemudian dilatih menjadi sami namun meninggalkan biara demi menjaga neneknya yang sakit di Mae Sai, utara Thailand.

Di situ Ekapol membahagikan masanya sebagai pembantu di biara dan melatih skuad muda Moo Pa yang dianggotai kebanyakannya anak-anak miskin setempat, atau etnik minoriti yang ramai di kawasan sempadan.

"Dia menyayangi pemain Moo Pa lebih daripada dirinya sendiri," kata rakan Ekapol, Joy Khampai.

Macam adik sendiri

Selain itu Ekapol juga tidak mengambil arak atau merokok.

"Dia orang baik dan mengajar budak-budak supaya menjadi baik," katanya.

Dengan kerjasama ketua jurulatih Moo Pa, Nopparat Khanthavong, 37, Ekapol memanfaatkan minat kanak-kanak setempat kepada bola sepak untuk dijadikan motivasi buat mereka supaya cemerlang dalam pelajaran.

Jika ada antara pemain itu mencapai kecemerlangan akademik Ekapol menghadiahkan mereka dengan sesuatu seperti seluar atau kasut baru.

Ekapol dan Nopparat juga gigih mencari penaja untuk Moo Pa untuk membuktikan mereka tidak sia-sia melabur untuk pasukan berkenaan.

Jika ada pemain yang tidak mempunyai kenderaan untuk berlatih atau pulang Ekapol itulah yang menghantar mereka.

"Dia melayan budak-budak itu macam adik sendiri," kata Nopparat.

Pada 23 Jun mereka memasuki gua berkenaan tanpa diketahui Nopparat. Pada petang itu skuad utama Moo Pa ada perlawanan bola sepak, justeru dia tidak mengendahkan telefon genggamnya.

Hanya pada kira-kira jam 7 malam barulah Nopparat menyedari ada berpuluh panggilan telefon dibuat ibu bapa pelajarnya yang bimbang kerana anak masing-masing tidak pulang.

Hanya selepas itu barulah dia tahu Ekapol dan 12 lagi kanak-kanak memasuki gua yang mempunyai laluan sehingga 10km itu.

Dia kemudian bergegas ke sana dan menemui basikal serta beg mereka. Ketakutannya memuncah apabila melihat laluan berkenaan dipenuhi air.

Selepas itu bermulalah detik mendebarkan untuk menyelamat pasukan.