Paling Popular
Terkini

Selepas beberapa jam membantu Skuad Bola Sepak Perancis, “Les Bleus” mara ke final Piala Dunia di Russia, Paul Pogba mendedikasikan kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Belgium di dalam perlawanan separuh akhir kepada 13 anggota pasukan bola sepak “Moo Pa” termasuk jurulatih mereka yang diselamatkan dari Gua Tham Luang, malam semalam.

Pemain tengah handalan Perancis, Pogba adalah antara sekumpulan pemain bola sepak, selebriti, pemimpin dunia dan individu penting di seluruh dunia yang mengucapkan tahniah atas kejayaan misi menyelamat di Chiang Rai, Thailand.

“Kejayaan ini untuk wira-wira hari ini, tahniah anda amat tabah,“ kata warga Perancis itu yang bermain untuk kelab Manchester United dalam catatan di akaun Instagramnya yang diiringi dengan gambar 12 pemain bola sepak itu.

Beliau menyambung ”Budak-budak lelaki di Thailand itu sentiasa di dalam ingatan saya” dalam Bahasa Perancis.

Bekas pemain legenda England dan Manchester United, David Becham yang kerap melawat Thailand juga menzahirkan perasaan gembiranya dengan berita pemain bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap selama 17 hari dalam gua yang ditenggelami air itu, berjaya diselamatkan.

Robert Lewandowski rasa bangga

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada bekas penyelam SEAL Tentera Laut Diraja Thailand, mendiang Sjn Saman Kunan yang maut semasa membantu operasi menyelamat.

“Sangat gembira mendengan berita dari Thailand. Budak-budak ini adalah wira, juga jurulatih mereka, lelaki dan wanita yang bersabung nyawa menyelamatkan mereka dan Saman Kunan yang hebat. Kisah yang positif dan menaikkan semangat juang untuk hidup,” katanya.

Pelakon Hollywood Josh Brolin juga memasukkan satu hastag “”ripsamankunan” dalam catatan di Twitternya selepas mereka diselamatkan sebagai penghargaan kepada bekas penyelam SEAL tentera laut Thailand itu.

Penyerang Poland dan Bayern Munich Robert Lewandowski di dalam catatan di Twitternya melahirkan rasa bangga bahawa pasukan bola sepak remaja itu memenangi perlawanan “paling penting” mereka malam semalam, merujuk kepada usaha menyelamat mangsa selepas 17 hari terperangkap di dalam gua itu.

Usahawan angkasa Amerika, Elon Musk yang berlepas ke Thailand semalam dengan kapal selam mini yang dibangunkannya untuk membantu operasi menyelamat itu membuat catatan dalam Twitternya, "Berita hebat, mereka berjaya diselamatkan. Tahniah kepada pasukan menyelamat yang mengkagumkan!”

Kapal selamnya yang dinamakan “Wild Boar” tidak digunakan di dalam operasi itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini juga mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelamat yang terdiri daripada penyelam antarabangsa dan pihak berkuasa Thailand atas keberanian dan kejayaan mereka menyelamatkan 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak itu semalam.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri Britain Theresa May, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong juga pengasas Facebook Mark Zuckerberg juga memuji kejayaan operasi menyelamat semalam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS