Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PIALA DUNIA 2018 | Ketika proses Britain mahu keluar dari Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan sedikit masalah, di Stadium Luzhniki, Moscow - Croatia menunjukkan pintu "exit" buat England menjulang Piala Dunia pada tahun ini.

Dengan kemenangan 2-1, Croatia mencipta sejarah tersendiri untuk mara ke perlawanan akhir buat kali pertama.

Pada minit ke-68, anak buah Zlatko Dalic yang ketinggalan 0-1 sejak awal permainan akhirnya berjaya menutup ruang keselesaan England dengan gol penyamaan.

Jaringan Ivan Perisic menjadikan kedudukan 1-1 membolehkan Croatia kembali mencorak harapan dengan lebih baik kepada penyokong mereka.

Malah, Luka Modric dan rakan-rakan turut mengheret England bersaing dalam tempoh masa tambahan selepas kedudukan kekal terikat selepas tamat separuh masa kedua.

Dan ternyata tuah berpihak kepada Croatia sekali gus menghancurkan hati penyokong England yang sudah menaruh harapan tinggi terhadap gol awal jaringan pasukan mereka.

Mario Mandzukic tampil sebagai wira Croatia apabila sentuhannya berjaya menewaskan penjaga gawang England, Jordan Pickford pada minit ke-109.

Terdahulu, England mendahului perlawanan melalui tendangan bebas Kieran Trippier dari luar kotak penalti seawal minit kelima permainan.

Mungkin ada yang menjangkakan jaringan itu bakal membawa skuad bimbingan Gareth Southgate ke pentas akhir, namun mereka akhirnya terkulai dihukum kesilapan sendiri.

 

Secara keseluruhan perlawanan, Croatia tampil mempamerkan keghairahan mereka untuk mengiringi Perancis yang lebih awal menempah slot perlawanan akhir.

Bagaimanapun mereka terpaksa melalui jalan sukar apabila England turut memberi saingan sengit.

Croatia dilihat mempunyai kelebihan dalam penguasaan bola, namun England cukup agresif mengimbangi permainan dan menjadikan rentak permainan lebih pantas.

Sementara itu, keputusan itu sekali gus bakal menyaksikan Croatia dan Perancis beraksi pada perlawanan akhir pada 15 Julai nanti.

 

 

Lihat Komen
ADS