Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skuad Tiga Singa tak mengaum, tak berkuku berdepan De Rode Duivels

PIALA DUNIA 2018 | Gagal melangkah ke perlawanan akhir mungkin takdir yang tepat untuk England, malah dalam perebutan tempat ketiga pun mereka meneruskan momentum kekalahan.

Itulah nasib yang menimpa skuad Tiga Singa selepas tewas kepada Belgium, sebentar tadi.

Keputusan 2-0 itu sekali gus merekodkan kekalahan kedua England kepada skuad bimbingan Roberto Martinez pada edisi kali ini.

Sebagai rekod, England tewas 0-1 pada pertemuan dengan Belgium dalam persaingan peringkat kumpulan G 29 Jun lalu.

Beraksi di Stadium Saint Petersburg, Rusia, anak buah Gareth Southgate sememangnya tampil menguasai kawalan bola. Namun, serangan-serangan yang dihasilkan Harry Kane dan rakan-rakan ternyata tumpul.

Malah, Belgium tampil lebih mengancam dengan mengejutkan pasukan lawan seawal minit ketiga perlawanan.

Thomas Meunier menggembirakan penyokong De Rode Duivels di seluruh dunia apabila bijak menyempurnakan hantaran lintang dari kanan pintu gol England oleh Nacer Chadli.

ersentak dengan jaringan lawan, England cuba bangkit manfaatkan tempoh perlawanan yang masih panjang untuk menguasai permainan dengan rentak semakin ghairah.

Bukan tiada peluang, tetapi ngauman dan kuku skuad Tiga Singa itu tidak mampu menggugat gawang Belgium.

Antaranya pada minit ke-23, Kane memperolehi peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, bagaimanapun percubaannya hasil umpanan Raheem Sterling itu gagal menepati gawang Belgium yang dikawal Thibaut Courtois.

Sementara itu, kembali dari bilik persalinan untuk separuh masa kedua memperlihatkan England banyak melepaskan peluang yang terhidang di depan mata.

Misalnya pada minit ke-69, Eric Dier melakukan rembatan lemah ketika Courtois sudah tertewas dan mujurnya pemain pertahanan Belgium sempat mengeluarkan bola yang sudah menghampiri garisan gol.

Di sebalik peluang-peluang yang ada buat England, mereka juga terpaksa berdepan detika-detik cemas ketika pasukan lawan menggempur gawang yang dikawal Jordan Pickford.

Namun, keadaan cemas bertukar kepada harapan yang lebih musnah apabila Hazard berhasil menjaring gol kedua pada minit ke-82 untuk Belgium menamatkan perjuangan mereka di tempat ketiga.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS