Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Natalia 'selamatkan' punggung Becker
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 9:44 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Liverpool dan penyokong mereka kelihatan sangat teruja dengan kedatangan pemain baru ke kelab itu, Alisson Ramses Becker.

Becker bakal menjadi tembok terakhir buat skuad The Kop semasa berhadapan dengan lawan di padang.

Baru berusia 25 tahun penjaga gol itu berhijrah ke Anfield dari Roma dengan rekod perpindahan bernilai RM353 juta. Ia dianggap nilai yang berpatutan oleh Roma memandangkan kemahiran yang ada pada pemain kebangsaan Brazil itu.

Sememangnya Becker bukan sebarang orang. Di luar padang dia juga diminati ramai dan pasangannya, Natalia Loewe, pula seorang doktor.

Pun begitu Becker digambarkan tetap merendah diri.

Dia bertemu Natalia, 25, semasa beraksi untuk kelab Brazil, Sport Club Internacional yang berpangkalan di Porto Alegre, Rio Grande do Sul.

Pasangan itu kini mempunyai seorang anak, Helena.

Dalam temu bual dengan majalah sukan SportWeek Becker memberitahu Natalia meninggalkan Brazil untuk menyertainya di Itali selepas menamatkan pengajian di universiti.

"Saya rasa itu membezakan saya dengan pemain bola lain.

"Jika kamu berasa tidak sihat, bukankah sangat bagus jika kamu serumah dengan seorang doktor berbanding model?" katanya berjenaka.

Memang kebiasaan pemain bola sepak dunia, pasangan mereka ialah jelitawan yang kebanyakannya berkerjaya sebagai model.

Tiada lebih baik

Sesuai dengan kedudukan mereka yang muda dan sama-sama menawan, Becker dan Natalia sukar untuk mengelak daripada menjadi perhatian ramai.

Antara 'masalah' itu ialah peminat wanita.

Becker memberitahu pada suatu hari mereka pergi makan di sebuah restoran bagi meraikan kejayaan kelab Internacional memenangi kejuaran tempatan.

Secara kebetulan, katanya, ramai wanita di restoran tersebut.

"Ada seorang dua cuba menepuk bontot saya, tetapi Natalia segera melarang," katanya yang turut digelar simbol seks oleh sesetengah orang.

Ada juga peminat membandingkan wajah Becker dengan pelakon Hollywood, Chris Hemsworth.

Di atas padang, Becker sudah mendapat pujian melangit daripada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Di mata Klopp Becker ialah penjaga gol kelas dunia dan mempunyai tempat sangat penting dalam perancangan masa depannya di Anfield.

"Saya dapati tiada penjaga gol yang lebih baik untuk menandingi Becker," katanya.

Lihat Komen
ADS