Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pak cik Maszlee pamer kasih sayang buat atlet negara

Salah seorang menteri yang paling diperhatikan orang ramai ketika ini, Dr Maszlee Malik, sekali lagi mencuri perhatian apabila berucap di depan ribuan pelajar di Shah Alam hari ini.

Menyampaikan kata-kata semangat kepada kontinjen Malaysia semasa merasmikan temasya Sukan Sekolah Asean ke-10, Maszlee secara santai membahasakan dirinya sebagai "pak cik".

Pelajar yang ada di depannya pula dipanggil "anak".

"Kepada atlet, murid-murid kontinjen Malaysia yang pak cik sayangi.

"Kepada anak-anak pak cik sekalian, pak cik ingin sampaikan, pamerkan prestasi terbaik anda semasa bertanding demi negara Malaysia tercinta," katanya.

Maszlee berkata demikian ketika perasmikan temasya tersebut yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.

Beliau juga tidak ketinggalan memberikan kata-kata perangsang buat atlet dari negara luas.

"Untuk semua atlet negara Asean, saya harap anda lakukan yang terbaik dan semaksimum daripada kamu," kata Maszlee.

Bagi temasya ke-10 ini Malaysia yang bertindak selaku tuan rumah mempertaruhkan 123 pingat emas menerusi 11 jenis sukan iaitu gimnastik artistik, olahraga, badminton, bola keranjang, bola tampar, ping pong, bola jaring, sepak takraw, renang, gimrama dan skuasy.

Pada temasya yang berlangsung selama lima hari ini juga, seramai 1,609 atlet dan pegawai dari 10 negara Asia Tenggara turut serta.

Mereka ialah kontinjen Malaysia, Indonesia, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Lihat Komen
ADS