LIGA SUPER | JDT menerima ucapat tahniah daripada dua bintang bola sepak antarabangsa ekoran kejayaan skuad itu menjuarai Liga Super sekali lagi pada tahun ini.

Seorang daripadanya ialah pemain antarabangsa Uruguay yang kini menjadi seorang daripada ayam tambatan Barcelona, Luis Suarez.

"Tahniah kepada JDT kerana merangkul kejuaraan lima kali berturut-turut," katanya melalui satu klip video ringkas.

Ia dimuat naik dalam akaun Facebook kelab bola sepak milik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Seorang lagi bintang bola sepak yang mengutuskan tahniah ialah bekas pemain kelab Valencia dan Becfica, Pablo Aimar.

Aimar, 38, kini menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 17 tahun negaranya, Argentina. Suatu ketika dulu dia pernah bermain untuk JDT.

"Tahniah JDT untuk kejuaraan liga kali lima berturut-turut," katanya.

JDT disahkan menjuarai Liga Super 2018 sebelum musim kali ini berakhir apabila mereka mengalahkan Perak 2-1 di Ipoh pada 11 Jul lalu.

Dengan kemenangan itu JDT mengumpul 47 mata daripada 18 perlawanan. Ketika itu ada empat lagi perlawanan berbaki.

Kemenangan itu tidak memungkinkan mana-mana pasukan lain mencabar kedudukan JDT, termasuk Perak yang berada di tempat kedua.

Sementara itu Tunku Ismail berkata kejayaan JDT tidak dipengaruhi oleh perubahan jadual perlawanan pada tahun ini.

Katanya selain JDT, pasukan lain - seperti Kedah, Sarawak, dan Selangor - juga terlibat dalam perubahan berkenaan.

"Tetapi ramai bising apabila melibat JDT sahaja, sebab JDT juara," katanya.

Tunku Ismail menambah untuk berjaya sesebuah kelab bola sepak perlu menjadi kuasa besar.

"Anda tidak boleh menjadi muzium," katanya.