Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Keita tolak tawaran Barcelona untuk sertai revolusi Klopp
Diterbitkan:  Jul 22, 2018 3:05 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Bekas pemain RB Leipzig, Naby Keita mendedahkan menolak tawaran kelab gergasi Barcelona dan Bayern Munich dalam penyertaannya ke Liverpool.

Keita, 24, yang dijangka memperkuat barisan tengah Liverpool musim ini merupakan salah seorang pemain bertaraf bintang yang berjaya dibeli dalam belanja besar kelab itu baru-baru ini.

Menjelaskan keputusannya itu, Keita berkata ia dibuat berdasarkan keyakinannya terhadap pengurus The Reds, Jurgen Klopp.

"Setahun lalu kami ada berbual. Apa yang dia katakan kepada saya tentang projeknya betul-betul meyakinkan saya.

"Saya sendiri boleh nampak bagaimana kelab itu sedang berkembang. Saya nampak bagaimana mereka berkembang pada musim lalu dan saya betul-betul mahu bermain bersama mereka," katanya sepeti dipetik Independent.

Keputusan Keita itu bagaimanapun tidaklah mengejutkan jika mengambil kira pendekatan Klopp - yang pernah mengkritik Manchester United kerana berbelanja £89.3 juta untuk membawa Paul Pogba ke Old Trafford -  berbelanja besar untuk mendapatkan pemain bertaraf bintang.

Baru dua hari lalu, Liverpool memecahkan rekod bayaran perpindahan penjaga gawang paling mahal Alisson Becker dengan yuran £66 juta.

Bekas penjaga gawang AS Roma itu bakal menggantikan Loris Karius yang dilihat antara punca kekalahan The Reds di pentas akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Selain Becker dan Keita, Liverpool juga berjaya mendapatkan Xherdan Shakiri dan Fabinho dalam kesemua £150 juta belanja perpindahan.

Kali terakhir Liverpool memenangi piala utama adalah pada 2006 untuk Piala FA dan tahun sebelumnya menjulang Piala Juara-Juara pada 2005.

Pada musim lalu, Liverpool terkandas di pentas akhir Liga Juara-Juara selepas tewas pada Real Madrid.

Lihat Komen
ADS