Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Syed Saddiq nak jumpa Kim Swee, exco sukan
Diterbitkan:  Jul 22, 2018 5:12 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

SUKAN ASIA |  Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bertemu jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee bagi mencari penyelesaian isu kemungkinan pasukan bola sepak negara menarik diri daripada menyertai Sukan Asia bulan depan.

Beliau berkata isu pelepasan pemain oleh pasukan negeri bagi mewakili negara memerlukan perbincangan teliti termasuk pandangan daripada exco sukan negeri.

"Saya akan bertemu Kim Swee bagi berbincang tentang hal ini, malah saya juga dalam proses untuk berjumpa exco sukan setiap negeri.

"Kami akan panggil mereka, duduk dan berbincang bagi mencari penyelesaian bersama isu ini bagi kepentingan sukan negara," katanya pada sidang media selepas majlis Konvensyen Belia Mahir kali kelima Majlis Belia Malaysia (MBM) di Bangi hari ini.

Kim Swee dilaporkan berkata skuad B-23 mungkin menarik diri daripada Sukan Asia di Jakarta-Palembang jika gagal mengumpulkan pemain yang cukup ekoran keengganan beberapa pasukan melepaskan pemain masing-masing.

Sukan Asia bermula 18 Ogos hingga 2 September namun bertembung dengan jadual Piala Malaysia.

Mengikut peraturan, setiap pasukan perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya 18 pemain untuk ke temasya tersebut.

Ditanya apakah tindakan segera kementerian bagi mengelak kebimbangan tersebut menjadi kenyataan, Syed Saddiq berkata perkara pertama yang harus dilakukan ialah semua pihak terbabit perlu bertemu dan berbincang.

"Berjumpa dan berdialog dahulu dengan mereka adalah lebih baik daripada mengambil tindakan segera tanpa melakukan proses itu bersama pihak berkenaan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS