Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Regu campuran M'sia tundukkan pasangan no 1 dunia
Diterbitkan:  Jul 22, 2018 5:46 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

BADMINTON | Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai muncul juara kejohanan Badminton Terbuka Singapura selepas menundukkan pasangan nombor satu dunia, Liliyana Natsir-Tontowi Ahmad dari Indonesia hari ini.

Pasangan nombor lapan dunia itu hanya mengambil masa 36 minit untuk menjinakkan pasangan pilihan pertama kejohanan itu dengan mata 21-19, 21-18.

“Kemenangan ini amat bermakna kerana ia yang pertama bagi kami dan saya berharap kami akan terus meraih kemenangan.

"Banyak pengalaman yang kami perolehi di sepanjang kejohanan ini,” kata Shevon ketika​​​​​ diminta mengulas kejayaan memenangi Terbuka Singapura.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu menyaksikan pasangan pilihan kedua kejohanan itu bertemu Liliyana-Tontowi buat kali pertama.

Regu Indonesia itu pernah muncul sebagai juara Terbuka Singapura sebanyak tiga kali dalam empat penyertaan mereka setakat ini.

Kemenangan itu membolehkan Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah bernilai S$ 8,045.

Rasa bangga bersemuka

Ditanya mengenai strategi mereka untuk mengatasi lawan, Shevon berkata, mereka sedar pasangan terbabit berpengalaman.

Justeru katanya dia dan Soon Huat menggunakan strategi banyak menyerang.

"Mereka pasangan yang lebih berpengalaman, mudah bagi mereka untuk mengubah permainan dan untuk mereka mendapatkan mata, itu memang dijangka.

"Jadi apabila mereka mengejar, kami hanya perlu mengekalkan permainan. Hanya perlu ikuti rancangan kami," katanya.

Pada Terbuka Singapura itu, Soon Huat-Shevon layak ke perlawanan suku akhir dengan mengalahkan Xiangyu Ren-Tang Jinhua dari China sebelum menewaskan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari (Indonesia) untuk layak ke separuh akhir.

Perlawanan separuh akhir pada Sabtu menyaksikan pasangan Malaysia itu menewaskan regu Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 21-14.

Pasangan Malaysia juga menyatakan, mereka bangga dapat bermain menentang Liliyana-Tontowi, kerana “semua orang tahu, mereka bukan sahaja pasangan Dunia No 1, tetapi juga juara Olimpik."

"Mereka banyak kali menjadi juara, jadi dapat bermain menentang mereka adalah sesuatu yang membanggakan kami,” kata Goh.

Menurutnya satu lagi kebanggaan pasangan itu ialah mereka dapat menentang pasangan Indonesia terbabit sebelum mereka bersara tidak lama lagi.

Shevon seterusnya berkata gelaran terbaru itu menyuntik semangat mereka untuk beraksi di Kejohanan Dunia BWF akhir bulan ini di Nanjing, China.

Shevon digandingkan dengan Soon Huat - seorang bekas pemain perseorangan lelaki negara - pada November 2016.

Pasangan itu memenangi Terbuka Jerman pada bulan Mac.

- Bernama

Lihat Komen
ADS