Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Majlis Silambam Porkalai Malaysia menggesa kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf semula seni bela diri Silambam dengan memperkenalkan semula sukan tersebut pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

Presiden Majlis Silambam Porkalai Malaysia, N Mooralitharan menyeru Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi perhatian sewajarnya kepada silambam setelah sekian lama tidak disenaraikan.

"Silambam mula diperkenalkan pada Sukma 2008 di Terengganu sebagai sukan pertunjukan sebelum dimasukkan sebagai sukan dibawah kategori sukan pilihan tuan rumah pada temasya di Melaka 2010 sehingga 2013 di Kuala Lumpur.

"Namun, isu dalaman Persatuan Silambam mengakibatkan sukan tersebut ditarik balik pada temasya berikutnya dan tidak disenaraikan semula sehingga hari ini," katanya kepada Malaysiakini.

"Harapan kami adalah Kerajaan PH akan tampil ke depan dan memperkenalkan semula sukan ini pada Sukma 2020 di Johor," ujar “mahaguru” itu.

Menurut Mooralitharan, walaupun silambam berasal dari India, ia turut dipelajari pelbagai kaum di Malaysia termasuk Melayu, Cina dan Bumiputera Sabah-Sarawak.

"Sebagai contoh, kesemua 13 negeri mengambil bahagian dalam sukan silambam pada setiap temasya Sukma yang Sabah sentiasa diwakili kaum Bumiputera tempatan.

"Ini menunjukkan silambam bukan lagi satu sukan khas untuk satu kaum tertentu sahaja.

Mengakui silambam ditarik balik kerana masalah dalaman persatuan sebelum ini, Mooralitharan menegaskan ia tidak harus menjadi sebab sukan tersebut terus dipinggirkan.

Mooralitharan mendedahkan pihaknya kini susah mendapatkan peruntukan kerajaan negeri mahupun pusat selepas sukan itu tidak dipertandingkan dalam SUKMA.

Silambam merupakan seni bela diri Dravidian tradisi berasaskan pertempuran tongkat. Gaya ini dipercayai berasal dari selatan India, 5,000 tahun dahulu.

Lihat Komen
ADS