Menteri Luar Jerman, Heiko Maas dikecam bekas pemimpin tertinggi negara itu kerana membuat kenyataan seolah-olah menghina Mesut Ozil.

Dalam kenyataannya Gerhard Schroder berkata Maas tidak wajar sama sekali mengecam Ozil selepas pemain Arsenal itu mengumumkan perasarannya daripada mewakili Jerman baru-baru ini.

"Itu sangat tidak boleh diterima," kata Schroder kepada akhbar harian Suddeutsche Zeitung dan dipetik agensi berita Turki Anadolu hari ini.

Untuk rekod Schroder, 74, menjadi canselor Jerman antara October 1998 hingga November 2005.

Ozil, 29, mengumumkan tidak lagi sedia mewakili Jerman selepas pertemuannya dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dikritik ahli politik Jerman.

Kata Ozil dia menjadi mangsa diskriminasi dan kebencian kaum di negaranya sendiri dan hanya dipandang apabila berjaya membawa Jerman menjuarai sesuatu pertandingan.

Sebaliknya kata Ozil, dia dianggap sebagai pendatang selepas Jerman gagal dalam kempen Piala Dunia di Russia baru-baru ini.

Bagai adik-beradik

Dia yang mempunyai darah Turki mengumumkan persaraannya daripada pasukan kebangsaan pada Ahad lalu.

Sehari kemudian Maas mengecam keputusan Ozil itu.

"Saya tak fikir seseorang yang memperoleh pendapatan berjuta-juta serta bekerja di England boleh memberi maklumat mengenai integrasi di Jerman," kata ahli politik dari Parti Demokratik Sosial (SDP) itu.

Schroder yang pernah mengetuai SDP berkata, kenyataan Maas tersebut tidak langsung menggambarkan pendirian rasmi parti terbabit.

Dia juga memberi amaran kenyataan Maas itu akan menjadi lebih bahaya jika dimanipulasi puak pelampau kanan di Jerman.

Sementara itu Ozil mempertahankan pertemuannya dengan Erdogan melalui ciapan di Twitter.

Katanya gambar dia bersama Erdogan pada Mei lalu dan ia tidak ada sebarang kaitan dengan isu politik.

"Ia adalah cara saya menghormati pemimpin tertinggi di negara asal-usul keluarga saya," katanya.

Sementara itu BBC pula melaporkan pengurus Arsenal Unay Emery, menegaskan dia mahu kelab terbabit menjadi "rumah" buat Ozil.

Kata Emery Ozil sudah menjadi mangsa sentimen perkauman dan kebencian di negara yang pernah diwakilinya.


Baca 'Dianggap Jerman bila menang, pendatang bila kalah'


"Kami akan membantu Ozil berasa seronok di sini dan membolehkan dia menunjukkan permainan berkualiti," katanya.

Emery yang menggantikan Arsene Wenger sejak akhir Mei lalu berkata semua pihak di Emirates akan melayan Ozil seperti anggota keluarga sendiri.

"Semua kami di sini akan membantu Ozil berasa selesa seolah-olah berada di rumah sendiri dengan kami," katanya.