FAM terima tajaan bernilai RM6 juta

       

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini disuntik dengan penajaan berjumlah RM6 juta untuk tempoh tiga tahun sehingga 2021 daripada syarikat kejuruteraan, CustomCraft (M) Sdn Bhd.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan badan induk bola sepak negara itu hari ini, majlis menandatangani perjanjian penajaan telah berlangsung sejurus tamat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelima bagi penggal 2017-2021 yang diadakan di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CustomCraft, Datuk Yeong King Hui berkata, pihaknya memiliki keyakinan tinggi terhadap kewibawaan Presiden FAM yang baru, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam meneruskan legasi ditinggalkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Kami di CustomCraft percaya bahawa Datuk Hamidin akan mampu meneruskan legasi Tunku Ismail dalam mencorak dan membina semula bola sepak Malaysia ke landasan yang tepat dan kembali dapat mengharumkan nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

"Justeru, CustomCraft tidak mahu terlepas peluang untuk terlibat sama dalam menghulurkan penajaan kepada FAM yang mana CustomCraft cukup teruja bagi membantu FAM dalam usaha mencapai visi dan misi mereka dengan sumbangan yang kecil ini,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Hamidin menyambut baik penajaan itu dengan menyifatkan jumlah RM2 juta setahun itu akan memberi impak positif terhadap pelaksanaan beberapa program yang telah dirancang FAM.

"Sumbangan penajaan RM6 juta daripada CustomCraft ini cukup kami hargai kerana ia mampu memastikan beberapa program yang telah kita rancang dapat dilaksanakan dengan suntikan kewangan tambahan ini.

Saya mewakili FAM cukup berterima kasih di atas keyakinan tinggi yang diletakkan CustomCraft di bahu saya untuk memartabatkan kembali bola sepak Malaysia biarpun baru dua minggu saya menduduki kerusi Presiden FAM ini," katanya.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.