Kelantan berharap nasib menyebelahi pasukan mereka untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini setelah tersingkir daripada Liga Super ke Liga Premier musim depan.

Ketua Jurulatih The Red Warriors Yusri Che Lah berkata Kelantan memerlukan keputusan seri ketika bertemu Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam esok jika mahu meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Malaysia.

"Kita (juga) bergantung kepada keputusan perlawanan Negeri Sembilan menentang Melaka United malam ini dalam saingan Liga Super.

"Ia akan memberi panduan kepada kita sama ada masih berpeluang untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia nanti," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Kelantan memerlukan keputusan seri bertemu Pahang di laman sendiri malam esok bagi memastikan mereka layak beraksi pada kempen Piala Malaysia namun hasrat itu hanya akan tercapai sekiranya Negeri Sembilan tewas dalam pertemuan menentang Melaka United malam ini.

Mengulas lanjut, Yusri berkata walaupun keputusan mungkin memihak kepada Negeri Sembilan pada pertemuan malam ini namun pasukannya perlu menamatkan saingan Liga Super dengan keputusan yang positif.

Beliau turut mengakui Kelantan akan menempuh perlawanan yang sukar pada malam esok walaupun untuk mendapatkan satu mata.

"Walau apapun yang terjadi pada perlawanan terakhir malam esok kita akan mencari keputusan yang terbaik bagi menamatkan saingan di samping mengharapkan nasib menyebelahi kami untuk kempen Piala Malaysia," katanya.

- Bernama