Khidmat 9 pegawai lantikan politik di KBS ditamatkan
Kementerian Belia dan Sukan menamatkan kontrak perkhidmatan sembilan individu lantikan politik termasuk pengerusi serta pengarah agensi-agensi di bawahnya, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut menteri mereka yang terbabit antaranya dari Perbadanan Golf Subang, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Perbadanan Stadium Malaysia dan Institut Sukan Negara.
"Apabila ada lantikan politik ini, perlu ada rombakan dan pembersihan semula.
"Saya sudah menghantar nota terima kasih dua minggu lalu dan menyingkirkan mereka serta-merta," katanya pada sidang media di bangunan parlimen hari ini.
Jelas Syed Saddiq, individu berkenaan yang mempunyai kedudukan dalam Umno - seperti ketua Pemuda atau ketua bahagian - akan digantikan dengan mereka yang bukan dalam kalangan ahli politik.
Katanya, mengikut prinsip pengganti yang akan mengisi kekosongan itu haruslah individu berpengalaman dalam bidang masing-masing, bekas atlet atau tokoh korporat.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) tidak akan diteruskan ekoran ia tidak menjana pendapatan negara.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat jemaah menteri dan kerajaan tidak mahu menumpukan kepada F1 sahaja, tetapi sukan pemotoran yang lain.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan perlumbaan F1 - yang kali terakhir dihoskan Malaysia tahun lepas - diadakan semula di negara ini.
- Bernama

