Perak menerima tajaan kira-kira RM12 juta daripada 13 syarikat korporat bagi menjayakan Sukan Malaysia (Sukma) 2018 bulan depan.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata antara penaja utama ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Al-Ikhlas dan Tan Chong Group.
Katanya, penaja rasmi lain termasuk Sanyu Sdn Bhd, Rizzs Trading Sdn Bhd, Asia Pasific Sports Sdn Bhd, Empayar Indera Sdn Bhd, KL Teh Land & Development Sdn Bhd dan Petronas.
"Turut menaja pada Sukma kali ini iaitu Palace Vacation Club, Oratis RX Sdn Bhd dan GB Kuari," katanya pada sidang media selepas merasmikan Wrapup Promosi Sukma ke-19 Perak di Stesen Keret Api Ipoh hari ini.
Turut hadir Exco Pembangunan, Belia dan Sukan Howard Lee dan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tan Kar Hing.
Ahmad Faizal berkata beliau berbesar hati menerima tajaan itu dan mengalu-alukan sekiranya ada syarikat swasta lain yang ingin menjadi penaja.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Chenderiang itu berkata sebuah tren perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi laluan Gemas ke Padang Besar akan dihiasi dengan gambar serta maklumat mengenai Sukma Perak ke-19 sebagai promosi sukan itu.
Katanya, kontrak promosi pada tren yang boleh memuatkan kira-kira 300 penumpang pada satu-satu masa itu adalah untuk selama setahun.
"Promosi ini dilaksanakan bukan hanya untuk Sukma, malah mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Perak untuk melawat pelbagai destinasi menarik di sekitar negeri ini," katanya.
Menurut Ahmad Faizal, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menyediakan perkhidmatan ETS seawal pukul 5 pagi hingga 11.30 malam mempunyai jumlah pengguna harian seramai 1.3 juta pada 2016 dan 1.4 juta pada tahun lepas.
"Perkhidmatan ini memberikan impak positif kepada kerajaan negeri dan juga para pengusaha sektor pelancongan di kawasan sekitar secara tidak langsung," katanya.
- Bernama
