UCI iktiraf Velodrom Rakyat
Velodrom Rakyat di Ipoh, yang telah dibaik pulih dengan kos RM11 juta, akhirnya mendapat sijil homologation daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) hari ini, kata Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Amarjit Singh Gill.
Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Pengurus Trek UCI, Gilles Peruzzi, pada Ahad lepas badan itu memberikan kelulusannya dan mengesahkan bahawa Velodrom Rakyat mematuhi semua syarat untuk mendapat sijil homologation.
"Saya gembira untuk memaklumkan bahawa Velodrom Rakyat akhirnya diluluskan dan saya sendiri telah mengambil Sijil Homologation Velodrom daripada UCI di Aigle, Switerzerland,” kata Amarjit yang juga Ahli Lembaga Pengurusan UCI dalam kenyataan hari ini.
Dengan selesainya pensijilan dan homologation itu, beliau berkata velodrom tersebut kini bersedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan tempatan dan antarabangsa.
Homologation adalah proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibina bagi menepati piawaian UCI, sekali gus membolehkan sebarang kejohanan antarabangsa diadakan dan rekod pelumba boleh diiktiraf.
Mengenai tarikh akhir yang ditetapkan Exco Sukan Perak, Howard Lee supaya kerja-kerja di trek dan homologation itu disiapkan pada minggu pertama bulan ini, beliau berkata MNCF berjaya memastikan ianya siap dalam tempoh yang dipersetujui.
Amarjit yang juga presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA) berkata persatuan itu akan menghantar salinan sijil tersebut untuk perhatian anggota exco kerajaan negeri dengan segera.
Bagi perancangan acara trek, Amarjit berkata tumpuan sekarang adalah pada Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadualkan bulan depan dan selepas itu beliau akan berbincang dengan MNCF untuk mengadakan program pembangunan termasuk di peringkat akar umbi yang memberikan tumpuan kepada zon utara.
Untuk rekod, PCA pada 2015 membuat permintaan kepada kerajaan untuk membaiki trek kayu Velodrom Rakyat yang berada dalam keadaan uzur.
Berdasarkan permintaan itu dan dengan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan bersetuju meningkatkan trek Velodrome Rakyat dan kemudahannya.
Velodrom Rakyat dibina pada 1984 dengan sumbangan orang ramai dan menjadi trek berbasikal pertama dibina di negara ini.
Ia adalah inisiatif Tan Sri Darshan Singh Gill selepas mendapat perkenan daripada Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
- Bernama

