Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Persatuan patut tanggung atlet kategori B Sukan Asia 2018'

Persatuan sukan kebangsaan bertanggungjawab menampung perbelanjaan atlet negara di bawah naungan masing-masing bagi memastikan mereka dapat menyertai Sukan Asia 2018, Ogos ini di Indonesia.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beberapa atlet negara yang bertanding di bawah Kategori B telah berjumpa dengannya beberapa hari lepas kerana mendakwa terdapat segelintir persatuan sukan kebangsaan yang memaksa mereka mengeluarkan wang saku sendiri untuk ke Indonesia.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan akan mencari satu jalan penyelesaian bagi memastikan atlet terlibat dapat beraksi pada temasya sukan berkenaan.

Menerusi Kategori B, persatuan sukan terlibat perlu menanggung perbelanjaan atlet masing-masing dan mereka akan dibayar semula oleh Majlis Olimpik Malaysia sekiranya atlet mereka meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

“Kementerian (Belia dan Sukan) akan cuba membantu sebaik mungkin persatuan terlibat tetapi pada masa sama persatuan juga perlu membantu atlet (berkenaan) sebaik mungkin...sebab itu saya tekankan persatuan sukan perlu dipimpin oleh orang yang berkelayakan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

'Serahkan pada atlet dan persatuan'

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata persatuan sukan kebangsaan bertanggungjawab untuk menampung perbelanjaan atlet masing-masing termasuk Kategori B ke mana-mana temasya sukan luar negara.

“Sebab itu saya katakan berkali-kali bahawa perlu ada kompromi di antara atlet terlibat dengan persatuan sukan berkenaan, jadi kita serahkan kepada kedua-dua pihak terlibat untuk selesaikan masalah,” kata Ahmad Shapawi.

Terdahulu Syed Saddiq menghadiri taklimat bersama pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara dan Perbadanan Stadium Malaysia.

Beliau turut merasmikan Galeri MSN yang memaparkan kejayaan dan pencapaian atlet Malaysia di pentas antarabangsa terletak di lobi bangunan MSN.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, semalam, mendakwa beberapa persatuan dikesan mengeluarkan arahan kepada setiap atlet yang bertanding di bawah Kategori B supaya mencari sumber kewangan sendiri bagi menampung kos perbelanjaan sepanjang berlangsungnya Sukan Asia nanti.

- Bernama

Lihat Komen
ADS