Insiden pergaduhan: FAM kemuka laporan kepada AFC

       

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan laporan daripada Kommisioner Perlawanan (MC) dan pengadil perlawanan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini.

Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam berkata, beliau bersama Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengambil tindakan segera yang sewajarnya berhubung insiden pergaduhan yang berlaku pada penghujung perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia B-23 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) B-23 di Stadium Shah Alam, semalam.

“Kita akan membuat tindakan susulan dengan AFC jika ada apa-apa keperluan selepas AFC meneliti laporan daripada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Stuart, selepas mengadakan perbincangan bersama pihak UAE FA, FAM telah menerima surat rasmi daripada mereka yang meminta maaf atas insiden pergaduhan itu.

“Mereka (UAE FA) mengambil serius apa yang berlaku itu dengan akan melakukan siasatan dalaman bagi mengambil tindakan kepada pemain dan pegawai pasukan berkenaan yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, insiden pergaduhan pemain mencemari kemenangan 2-0 skuad B-23 negara ke atas pasukan dari Asia Barat itu pada aksi persahabatan terakhir di Stadium Shah Alam malam tadi, sebelum memulakan aksi Kumpulan E di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada 15 Ogos ini.

Pada perlawanan semalam, pergaduhan tercetus pada lewat babak kedua selepas Mohammed Khalfan Al-Harazi mengasari pemain negara sebelum ada tindak balas daripada pemain kedua-dua pasukan.

Insiden bertukar menjadi serius sehingga melarat ke luar padang dan merebak kepada semua pemain termasuk pemain dan pegawai di bangku simpanan.

Pada aksi persahabatan terakhir sebelum skuad B-23 negara ke Indonesia Isnin ini, anak buah Datuk Ong Kim Swee memastikan kemenangan hasil dua jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Mohammad Akhyar Abdul Rashid (m-64).

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.