Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala M'sia: MIFA dahului Kumpulan C, JDT belasah Kedah

Pasukan MIFA melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Kelantan 2-0.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini, MIFA membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pemain import dari Liberia, Kpah Sean Sherman pada minit ke-25.

Pasukan berstatus kelab itu dihadiahkan sepakan tersebut selepas bola terkena tangan pertahanan Kelantan, Muhammad Syaiful Alias dalam kotak penalti.

Selepas permainan bersambung, MIFA menjarakkan kedudukan dengan jaringan kedua oleh J. Satrunan Pilli pada minit ke-74, dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Pada 5 Ogos lepas, MIFA mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

JDT raih kemenangan pertama

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C, JDT meraih kemenangan pertama selepas membelasah juara Piala Malaysia lima kali, Kedah 5-1 di gelanggang keramat mereka di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin.

Skuad Harimau Selatan membuka jaringan menerusi tandukan Fernando Andres Marques pada minit ke-12, namun Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34 apabila sepakan ketua pasukan Sandro Da Silva berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Seminit selepas rehat, JDT kembali mendahului apabila meraih gol kedua menerusi rembatan Natxo Insa dalam kotak penalti ​​​​​​​dan pasukan tuan rumah terus menambah derita skuad Lang Merah menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-71.

JDT terus melebarkan jaringan dengan menambah dua lagi gol melalui ​​​​​​​​​​​​​​Gonzalo Cabrera pada minit ke-81 dan ​​​​​​​S. Kunanlan melengkapkan pesta gol pasukan tuan rumah dengan jaringan pada minit akhir perlawanan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS