Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Sukan Asia 2018: Malaysia kejutkan Korea Selatan

Malaysia mengejutkan pasukan pilihan Korea Selatan dalam saingan bola sepak lelaki Sukan Asia 2018 dengan kemenangan 2-1 di Bandung, Indonesia, malam ini.

Dalam aksi Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat tersebut, Malaysia nyata tidak gentar berhadapan pasukan memiliki reputasi tinggi itu apabila mendahului pada minit keempat, hasil jaringan Muhammad Safawi Rasid.

Korea Selatan yang membariskan pemain beraksi pada Piala Dunia 2018, Hwang Hee-Chan, banyak melakukan serangan namun gagal membolosi gawang Malaysia, sebaliknya Muhammad Safawi sekali lagi bertindak cemerlang menggegarkan gawang Korea Selatan pada minit ke-45.

Tersentak apabila ketinggalan dua gol, Korea Selatan menurunkan seorang lagi pemain skuad Piala Dunia 2018 yang juga pemain kelab Tottenham Hotspur, Son Heung-Min menggantikan Kim Jungmin pada minit ke-56.

Pemain Korea Selatan terus mengganas melancarkan serangan, namun penjaga gol skuad Bawah 23 tahun Malaysia, Muhammad Haziq Nadzli tetap kebal mempertahankan gawang sebelum akhirnya dibolosi pada minit ke-87 melalui jaringan Hwang Ui Jo.

Menerusi kemenangan itu, skuad muda Malaysia kini mendahului Kumpulan E dengan mengumpul enam mata, sekali gus layak ke pusingan kedua.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu sebelum ini, mencatat kemenangan pertama menewaskan Kyrgzstan 3-1, dua hari lepas.

Korea Selatan masih di kedudukan kedua kumpulan dengan kutipan tiga mata, manakala Kyrgyzstan dan Bahrain masing-masing mengumpul satu mata selepas seri 2-2 pada aksi kedua kumpulan hari ini.

Bahrain tewas 0-6 kepada Korea Selatan pada aksi pertama, dua hari lepas.

Malaysia dijadual bertemu Bahrain pada perlawanan terakhir kumpulan, 20 Ogos ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS