Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dian Sastro bantu licinkan perjalanan semasa Sukan Asia
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 5:22 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Bukan kerajaan saja yang berusaha memberikan keselesaan kepada orang ramai sempena Sukan Asia yang sedang berlagsung di Indonesia ketika ini.

Turut menawarkan 'ketenangan' - termasuk jika pengguna jalan raya mengalami kesesakan lalu-lintas - ialah pelakon utama Ada Apa Dengan Cinta (AADC), Dian Sastrowardoyo.

Sepanjang tempoh temasya sukan terbesar di benua Asia itu berlangsung di dua bandar raya Jakarta dan Palembang, suara Dian akan bergema untuk pengguna Waze.

Pengguna kemudahan itu memang perlu dibantu aplikasi berkenaan kerana ada pelbagai perkembangan berlaku dari semasa ke semasa akibat sukan berkenaan.

Antaranya maklumat yang penting diketahui pengguna Waze ialah penutupan jalan raya.

Bagi mewarnai perkhidmatan itu, suara Dian tidak hanya digunakan bagi menyampaikan maklumat trafik.

Sesekali kedengaran petikan dialog Dian - atau Cinta, watak yang pernah dibawanya - seperti diungkapkan dalam filem AADC.

Turut dimanfaatkan oleh Waze, dialog dari filem terbaru Dian, Aruna Dan Lidahnya.

Sementara itu Pengurus Waze Indonesia Marlin R Siahaan berkata ada kira-kira empat juta pengguna Waze di negara tersebut dan seperti dipetik Tempo mereka akan mendapat pengalaman menyenangkan melalui kemudahan terbaru itu.

"Kerjasama dengan selebriti seperti Dian ialah satu lagi bukti komitmen kami kepada pasaran Indonesia, sekali gus menunjukkan semangat Waze menyokong Sukan Asia 2018," katanya.

Menurut Marlin lagi, Dian sendiri adalah seorang daripada pengguna setia Waze.

Bagi Dian sendiri, suaranya itu diharap dapat menyumbang kepada keselesaan pengguna perisian berkenaan, dan lebih penting agar mereka selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Lihat Komen
ADS