Paling Popular
Terkini

SUKAN ASIA 2018 |  Malaysia berpotensi melakukan kejutan dan terus mencipta sejarah dengan mengalahkan satu lagi pasukan pilihan, Jepun, pada pusingan 16 pasukan terakhir di Sukan Asia Jakarta-Palembang pada Jumaat ini.

Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) Datuk Ong Kim Swee, bagaimanapun berkata untuk bersaing setara dengan pasukan pemenang pingat emas pada Sukan Asia edisi Guangzhou 2010 itu, beliau memerlukan komitmen padu dan tumpuan daripada semua anak buahnya.

“Kami tahu Jepun pasukan yang amat bagus. Mereka memiliki gabungan yang baik dan saya percaya pasukan ini telah bersama-sama untuk jangka masa yang lama.

"Ia bukan tugas mudah kerana Jepun banyak pengalaman beraksi dalam pertandingan antarabangsa dan cemerlang dalam setiap kejohanan.

“Jadi kami perlu melakukan yang terbaik untuk memastikan Malaysia mampu menyaingi mereka, malah mengalahkan mereka pada pusingan 16,” katanya pada sidang media selepas anak buahnya kalah 2-3 kepada Bahrain dalam perlawanan akhir Kumpulan E di Jakarta, Indonesia malam tadi.

Mengulas kekalahan itu, Kim Swee menyalahkan beberapa pemain yang mempamerkan aksi dengan serta tidak tiada semangat juang tinggi di padang.

“Dari segi keputusan yang tidak baik, sudah tentu saya tak gembira dengan beberapa orang pemain yang diberikan peluang tetapi tidak memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Saya kecewa apabila melihat satu atau dua pemain tidak menunjukkan komitmen dan semangat jitu dalam perlawanan itu.

“Kami tiada masa yang diperlukan untuk pertingkatkan permainan setiap pemain, jadi mereka perlu faham apabila mereka di sini, mereka perlu bekerja keras,” katanya.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Kim Swee membuat lapan pertukaran dalam barisan pemainnya yang mungkin memberikan kesan terhadap keputusan perlawanan itu.

Bagaimanapun, kekalahan itu tidak membawa sebarang perbezaan kerana pasukan negara sudah melayakkan diri ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan E selepas memenangi dua perlawanan terdahulu, termasuk menumpaskan pasukan pilihan Korea Selatan 2-1 pada Jumaat lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS